Tang Jie-Ee Wei raih tonik terbaik menjelang Sukan SEA, WTF

Tang Jie-Ee Wei raih tonik terbaik menjelang Sukan SEA, WTF

BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menamatkan penantian bagi meraih gelaran Jelajah Dunia BWF tahun ini apabila muncul juara Terbuka Australia di Sydney, semalam selepas menundukkan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 21-16, 21-11 dalam perlawanan akhir.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyifatkan kejayaan muncul juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia sebagai penyuntik semangat menjelang Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, Disember depan.

Semalam, gandingan juara dunia yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu menyingkirkan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang menghuni ranking No. 11 dunia 21-16, 21-11 dalam masa 42 minit.

Ee Wei berkata, dia gembira penampilan mereka di Terbuka Australia berakhir dengan satu kejayaan yang dinantikan

“Ini satu penamat yang baik buat kami kerana Terbuka Australia merupakan gelaran sulung kami tahun ini pada Jelajah Dunia,” katanya.

Menurutnya, kejayaan tersebut juga menjadikan dia dan Tang Jie lebih bermotivasi bagi meningkatkan keyakinan untuk beraksi lebih baik pada WTF nanti.

Tang Jie pula berkata, keyakinan mereka berdua dengan strategi dan perancangan yang telah diatur telah membantu kejayaan di Australia.

“Kami telah bertemu mereka empat kali, tahun ini. Jadi, kami sedar ia bukan laluan mudah untuk kami. Hari ini (semalam), suasana di stadium cukup meriah dengan kehadiran penyokong Malaysia, ia menjadikan kami lebih teruja untuk beraksi pada final,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu amat menghargai sokongan warga Malaysia yang sanggup datang ke stadium dan melihat Jalur Gemilang dikibarkan membuat dia dan Ee Wei berasa sangat terharu.

“Kami sangat gembira mereka sanggup datang sokong kami, bersama-sama penyokong di tanah air, kemenangan ini untuk anda semua,” katanya.

Selain WTF yang akan berlangsung pada 17hingga 21 Disember, Tang Jie-Ee Wei terlebih dahulu akan beraksi pada Sukan SEA di Thailand bermula 7 hingga 14 Disember.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN