PETALING JAYA: Tourism Malaysia Wilayah Timur menerusi program SWING 2025 memperkukuh jalinan strategik antara agensi kerajaan, pemain industri pelancongan dan media bagi memperkasa sektor pelancongan negara.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd. Azizul Arif Yahaya berkata, pendekatan itu menunjukkan bahawa aktiviti rangkaian kerjasama tidak semestinya dilakukan dalam seminar atau mesyuarat, sebaliknya boleh berlaku secara lebih mesra dan berkesan di padang golf.

Katanya, program ini bukan sekadar pertandingan golf atau sesi santai di padang tetapi merupakan platform strategik di mana ruang interaksi antara agensi kerajaan, pemain industri dan media berlaku dalam suasana santai tetapi tetap produktif.
Menurutnya, SWING 2025 menggabungkan dua komponen utama iaitu pertandingan golf yang mengeratkan hubungan serta program familiarisation trip (fam trip) yang memberi pendedahan kepada potensi kelab golf dan destinasi pelancongan di Pantai Timur.
“Peserta bukan hanya bermain golf tetapi turut diberi peluang melihat sendiri produk pelancongan, mengenal pasti pasaran serta merangka pakej baharu khususnya dalam segmen golf tourism.
“Segmen pelancongan golf memiliki potensi besar memandangkan Malaysia kini mempunyai 228 padang golf yang menjana pendapatan sekitar RM450 juta setahun dengan prospek pertumbuhan stabil.

“Di Pantai Timur sahaja, terdapat kira-kira 16 padang golf. Ekosistem ini memberi peluang besar untuk membangunkan pakej golf yang kompetitif dan menarik pelancong berkualiti, baik domestik mahupun antarabangsa,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kejohanan SWING 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Kanan, Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia, Mohd. Roslan Abdullah.
Tambahnya, inisiatif SWING 2025 akan disambung ke program GRACE 2025 (Gathering of Recognition, Appreciation, Collaboration and Excellence) yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu Disember ini, di mana pakej pelancongan golf yang dibangunkan sepanjang tahun akan dipamer dan dipasarkan secara rasmi.
“Setiap usaha di padang golf hari ini tidak berakhir di sini. Ia akan diterjemahkan menjadi produk dan pakej pelancongan sebenar yang boleh dipasarkan bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Mohd. Azizul turut menegaskan bahawa kerjasama semua rakan industri amat penting bagi memastikan promosi dan pengalaman pelancongan di Pantai Timur dapat diketengahkan secara lebih meluas.
“Kami menaruh harapan tinggi agar pelancong golf dapat dibawa masuk ke Pantai Timur dalam masa terdekat kerana segmen ini bukan sahaja berimpak besar dari sudut ekonomi, tetapi juga mampu memperkukuh imej Pantai Timur sebagai destinasi unggul golf tourism di rantau ini.
“SWING 2025 bukan sekadar ayunan di padang golf. Ia adalah hayunan harapan, hayunan peluang, dan hayunan strategi untuk membawa industri pelancongan negara kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sehari sebelum kejohanan bermula, pihak media diuruskan oleh pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur untuk beraksi di Mahkota Golf & Country Club dan sehari selepas pula wakil-wakil media dibawa untuk bermain di Kelab Golf Diraja Pekan. – UTUSAN










