Speedy Tigers akur kehebatan India

Speedy Tigers akur kehebatan India

MALAYSIA tewas 4-3 kepada India dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, hari ini. - Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki kebangsaan untuk melakar kemenangan kedua dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) tidak kesampaian apabila tewas 4-3 kepada India di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah hari ini.

Dalam aksi tersebut, India terlebih dahulu berada di depan seawal minit ketujuh menerusi gol padang Karthi Selvam sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti lima minit kemudian.

Pasukan ketujuh terbaik dunia, India kembali di depan hasil gol padang Sukhjeet Singh pada minit ke-21 sebelum Mohd Fitri Saari menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Amit Rohidas menjaringkan ketiga India pada minit ke-39 namun Marhan Mohd Jalil mengikat 3-3 enam minit kemudian.

Gol kemenangan India dijaringkan Sanjay Rana pada minit ke-53 menerusi penalti shoot-out.

Kapten skuad hoki kebangsaan, Marhan telah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada aksi tersebut.

“Untuk persembahan pasukan, saya rasa saya boleh katakan baik untuk hari ini terutamanya di suku ketiga dan keempat.

“Apa yang penting semangat juang daripada pemain dalam memberi aksi terbaik walaupun setiap kali kita menyamakan kedudukan India dapat kembali di depan.

“Pada masa sama, kita masih ada peluang pada minit terakhir. Rezeki tidak menyebelahi kita,” katanya.

Malaysia akan berdepan tugas getir esok apabila dijadual menentang pasukan ketiga terbaik dunia, Belgium.

Sebelum itu, dua perlawanan turut berlangsung pada hari ini yang menyaksikan New Zealand menewaskan Kanada 4-2 manakala Belgium belasah Korea Selatan 6-2.

Malaysia kini berada di kedudukan keempat selepas mengutip empat mata manakala India di tempat ketiga dengan enam mata. Belgium di kedudukan teratas berkongsi tujuh mata dengan New Zealand namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN