KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi penganjuran kejohanan edisi sulung Piala Dunia Boling Padang 2025 yang membuka tirainya di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Rabu ini.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pula menyalurkan kira-kira RM1 juta untuk penyediaan infrastruktur gelanggang dalam dewan sekaligus sesuatu yang julung kali diperkenalkan bagi sukan tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memperkasa pembangunan sukan berasaskan komuniti serta memperluas pengenalan sukan boling padang dalam kalangan rakyat tempatan.
“Kali ini kita cuba sesuatu yang baharu kejohanan dalam dewan dengan gelanggang khas disediakan oleh Perbadanan Stadium Malaysia.
“Untuk KBS, kita peruntukkan setengah juta ringgit bagi memastikan penganjuran Piala Dunia ini berjalan lancar,” katanya ketika melancarkan kejohanan itu di sini, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung hingga 8 November ini bakal disertai 12 negara, termasuk Australia, Kanada, England, Hong Kong, India, Ireland, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Wales dan Malaysia selaku tuan rumah.
Hannah berkata, penganjuran edisi sulung di Malaysia bukan sekadar medan saingan, malah menjadi platform penting memperkenalkan sukan itu kepada masyarakat tempatan.
“Apabila kejohanan dunia diadakan di sini, ia mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia mengenali sukan ini serta memberi kesedaran bahawa boling padang juga mampu melahirkan jaguh dunia,” katanya.
Dalam masa sama, KBS merancang mengekalkan gelanggang mudah alih yang digunakan kali ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebagai pusat latihan kekal skuad kebangsaan menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Infrastruktur ini bukan hanya untuk pertandingan, tetapi juga akan dimanfaatkan atlet negara bagi tempoh latihan jangka panjang sehingga Jun depan.
“Namun, PSM perlu menyusun semula jadual penggunaan Stadium Juara kerana ia turut menjadi lokasi latihan bagi pasukan bola jaring dan badminton,” jelasnya.
Kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025 ini dijangka membuka lembaran baharu buat sukan tersebut di Malaysia dan mengangkat nama negara di pentas antarabangsa.-UTUSAN









