PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan akan memulakan perlumbaan 1 bagi kelas utama 190cc dari petak kedua pada perlumbaan akhir Kejohanan Dunia FIM MiniGP 2025 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, esok.
Juara ESBK Talent itu mencatat masa sepusingan kedua terpantas 42.209 saat (s) pada sesi kelayakan, hari ini, manakala, wakil tuan rumah, Shengbo Sun mengungguli sesi tersebut dengan lakaran masa 42.118s.
Berada di petak ketiga ialah pelumba Australia, Judd Plaisted dengan catatan masa 42.397s.
Seorang lagi wakil negara, Adam Aiman menamatkan sesi kelayakan di tangga ke-18 dengan ciptaan masa 43.066s.
Kedudukan tersebut memerlukan pelumba muda itu beraksi pada satu lagi pusingan kelayakan yang mana hanya dua slot teratas akan layak ke perlumbaan 1 dan 2.
Mujur Adam berjaya mencatat masa sepusingan terpantas pada sesi tersebut dengan catatan 42.742s yang sekali gus melayakannya ke perlumbaan 1 dan 2.
Sementara itu, dalam kategori 160cc pula, pemenang MiniGP Malaysia bagi kelas tersebut, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff pula akan memulakan perlumbaan 1, esok, dari petak kelapan selepas mencatat masa 44.448s.
Pelumba Sepanyol, Witold D. Kupczynski menempah petak pertama selepas mencipta masa sepusingan terpantas 44.797s, manakala, wakil Republic Czech, Jan Babiarz di kedudukan kedua (43.862s) dan Daniel Putorti dari Itali di tempat ketiga (44.087s).
Adik Qabil, Qasha Irfan yang turut bersaing dalam kelas 160cc kurang bernasib baik apabila perlu mengikut laluan jauh jika berhajat layak ke perlumbaan sebenar, esok.
Qasha terpaksa sekali lagi mengharungi dua kelayakan, dengan sesi pertama dia terjatuh dan memaksanya beraksi pada sesi kedua yang menawarkan satu slot sahaja ke perlumbaan sebenar. – UTUSAN










