Perancis sambut sederhana layak Piala Dunia 2026

Perancis sambut sederhana layak Piala Dunia 2026

KYLIAN Mbappe bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan Perancis mara ke Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis memilih untuk tidak meraikan kejayaan secara berlebihan selepas layak ke Piala Dunia 2026 hasil kemenangan 4-0 ke atas Ukraine, semalam.

Skuad Perancis memberi penghormatan kerana suasana perlawanan turut diselubungi emosi sempena ulang tahun ke-10 tragedi serangan 13 November 2015.

Kylian Mbappe menegaskan, kemenangan besar itu bukan fokus utama pasukan, sebaliknya penghormatan kepada mangsa serangan menjadi keutamaan Les Bleus.

“Amat berbangga dapat membantu pasukan, namun itu bukan perkara paling penting. Malam ini adalah tentang mengenang mereka yang terkorban,” kata Mbappe yang meledak dua jaringan, termasuk sepakan penalti.

Pengendali Perancis, Didier Deschamps pula menegaskan, Piala Dunia adalah selayaknya buat Les Bleus kerana mereka sering menjadi pencabar utama dalam kejohanan itu.

“Sentiasa hargai detik sebegini walaupun ia nampak logik untuk Perancis. Misi utama malam ini adalah melayakkan diri dalam suasana yang cukup emosional. Babak pertama agak sukar kerana Ukraine bertahan dengan baik,” katanya.

Perancis yang menguasai majoriti permainan terpaksa menunggu sebelum dapat memecah kebuntuan.

Selain dua gol Mbappe, Michael Olise turut mencatat nama sebagai penjaring, manakala Hugo Ekitike melengkapkan kemenangan bergaya di Paris.

Deschamps, yang akan mengakhiri tugasnya sebagai pengendali kebangsaan selepas Piala Dunia tahun depan, mengakui pasukannya bermula perlahan sebelum menemui rentak sebenar pada separuh masa kedua.

Jelasnya, sejak awal lagi, Perancis tidak bercadang mengadakan sebarang sambutan besar-besaran kerana menghormati konteks perlawanan tersebut.

“Kami tidak cukup laju dalam hantaran dan banyak kehilangan bola. Perubahan yang dibuat dengan memberikan tenaga baharu seperti Maghnes Akliouche dan Ekitike memberikan impak segera. Perlawanan seperti ini memerlukan kesabaran.

“Tiada ruang untuk pesta atau euforia. Kami lakukan apa yang perlu itu sahaja,” jelas Deschamps.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN