Pemilihan atlet negara longgar?

Pemilihan atlet negara longgar?

AHMAD SHAPAWI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua tokoh sukan tanah air tampil menegur proses pemilihan yang dianggap longgar sehingga membolehkan atlet tidak layak mewakili negara ke pentas Sukan SEA.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail berkata, proses pemilihan perlu diperketatkan agar atlet yang benar-benar layak sahaja dihantar ke temasya dwitahunan itu.

“Proses pemilihan atlet mewakili negara sepatutnya lebih tegas dan terperinci berdasarkan prestasi semasa. Saya sejak dulu tidak pernah bersetuju dengan Kategori B.

“Kategori ini melibatkan pembiayaan sendiri sebagai asas kelayakan atlet dan sukan untuk menyertai temasya Sukan SEA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Shapawi, isu ini mendapat perhatian umum apabila terdapat atlet yang terpaksa melakukan ‘crowd funding’ bagi mencari dana untuk menampung kos penyertaan.

Katanya, perkara tersebut tidak sepatutnya melibatkan masyarakat bagi membiayai mereka sedangkan keputusan pemilihan diputuskan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Sepatutnya semua atlet yang terpilih hendaklah dalam Kategori A walaupun pemilihan mereka sebagai pendedahan semata-mata asalkan melepasi pertimbangan Jawatankuasa Pemilihan MOM.

“Tetapi sebaliknya yang berlaku, pemilihan kategori ini adakalanya menjadi asas politik dalaman MOM dan terdapat mereka yang menyertai kontinjen secara dasarnya adalah mereka yang tidak layak,” katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden MOM, Tan Sri Khalid Yunus berkata, ketika beliau menjadi ahli jawatankuasa pemilihan MOM, memenangi pingat merupakan matlamat utama menghantar atlet ke Sukan SEA dan bukannya untuk pendedahan.

“Keputusan ketika itu adalah untuk memenangi pingat, terutamanya emas. Sebab itu, setiap persatuan akan ditanya bilangan pingat emas sebelum diputuskan jumlah atlet yang hendak dihantar,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa pemilihan pada ketika itu tidak bersetuju Sukan SEA dijadikan tempat memberi pendedahan kepada atlet.

“Pencapaian atlet di temasya itu juga akan menjadi asas penilaian untuk sukan Asia dan kejohanan antarabangsa yang lain, sebab itu emas menjadi ukuran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN