MANCHESTER: Ruben Amorim mahu pemain Manchester United ‘bergaduh’ antara satu sama selepas kehilangan bola, sama seperti yang berlaku kepada Idrissa Gueye dan Michael Keane ketika Everton mencatat kemenangan 1-0 di Old Trafford, semalam.
United kelihatan akan mengawal perlawanan sebaik Gueye dilayangkan kad merah kerana menampar Keane selepas 13 minit, namun sebaliknya berlaku apabila anak buah Amorim langsung tidak menguasai permainan.
“Bergaduh bukanlah sesuatu yang buruk. Bergaduh tidak bermaksud mereka tidak menyukai satu sama lain. Bergaduh itu apabila anda kehilangan bola, saya akan bergaduh dengan anda kerana anda hilang bola dan kami akan menderita gol. Itu perasaan saya ketika menonton.
“Saya tidak setuju dengan kad merah itu. Jadi saya katakan, anda boleh bergaduh dengan rakan sepasukan. Saya tahu ia kelakuan ganas, pengadil sudah jelaskan. Saya tidak bersetuju dengan itu.
“Saya harap pemain saya apabila kehilangan bola, mereka bergaduh antara satu sama lain. Sekarang mereka tidak boleh dilayangkan kad merah. Tetapi itu perasaan yang baik, bukan buruk,” kata Amorim.
Everton menguasai permainan sepanjang aksi dan Amorim, yang masuk ke sidang media dengan kepala menunduk, mengakui bimbang tentang kemerosotan prestasi pasukan.
“Saya takut kembali kepada perasaan musim lalu, itu kebimbangan terbesar saya. Kami perlu bekerjasama. Kami akan bekerja bersama. Pemain cuba, tetapi kami perlu lebih baik. Kami ada latihan esok dan akan bersedia untuk perlawanan seterusnya.
“Melihat keputusan hujung minggu lalu, kami perlu masuk ke padang dengan semangat berbeza. Itu perasaan saya.
“Tidak kira jika anda bermain baik, buat hantaran tepat, tetapi perasaan itu penting dan Old Trafford hadir untuk memberi kita dorongan besar tetapi saya rasa kami tidak bersedia.
“Lima minggu ini semua orang memuji evolusi kami. Saya sentiasa berkata benda yang sama. Kami masih jauh daripada tahap yang sepatutnya di kelab ini,” katanya. – AGENSI










