PETALING JAYA: Beregu No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Australia yang bermula hari ini.
Sebaliknya, Pearly-Thinaah dijangka mengalih fokus kepada Sukan SEA di Thailand dan Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China pada Disember depan.
Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak memberi bayangan tersebut menerusi perkongsian di akaun media sosial miliknya, kelmarin.
“Anda berdua terus kekalkan motivasi di tahap yang tertinggi dan sekarang masanya untuk berehat, dapatkan kembali tenaga dan selepas ini alihkan fokus kita kepada Sukan SEA dan WTF pula,” katanya.
Pearly-Thinaah dinobatkan sebagai Kejohanan Badminton Jepun Masters, kelmarin selepas menewaskan wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.
Rosman turut mengucapkan tahniah kepada beregu bimbingannya itu dan berharap Pearly-Thinaah akan terus bermotivasi bagi mengekalkan kecemerlangan tersebut.
“Tahniah kepada anda berdua, terus bermotivasi menuju ke sasaran kita, anda bermain dengan cemerlang, nikmatilah detik manis ini dan rehatlah betul-betul,” katanya.
Sementara itu, Thinaah gembira dengan kemenangan yang diraihnya bersama Pearly, tetapi mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk meningkatkan persembahannya.
“Buat masa ini, kami mahu meraikan detik gembira ini, tetapi, kami perlu kekal berpijak di bumi nyata dan terus memberikan fokus untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Pearly pula di dalam akaun Instagram miliknya berkata, setiap pengalaman yang dikutip selama ini telah memainkan peranan yang cukup penting untuk dia melangkah maju ke depan.
“Kami akan terus berusaha dan kembali membetulkan fokus untuk bergerak maju ke depan sekali lagi bersama-sama pasukan yang sentiasa berada di sisi kami,” katanya.-UTUSAN










