PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menghembur pujian terhadap persembahan cemerlang Arif Aiman Hanapi yang disifatkan sebagai wira kemenangan Harimau Selatan selepas membantu pasukan menundukkan Shanghai Shenhua FC 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin.
Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, Arif Aiman mempamerkan tahap kematangan luar biasa dan menjadi duri dalam daging buat benteng lawan dengan kelicikannya menembusi kawasan penalti pasukan kendalian Leonid Slutskiy.
“Malam ini (kelmarin) Arif dan pemain lain memiliki persefahaman yang baik. Dia begitu berani beraksi di peringkat tertinggi Asia dan membuktikan kredibiliti sebagai pemain serba boleh.
“Namun, apa yang saya utamakan adalah permainan berpasukan dan dia melaksanakan tanggungjawab itu dengan cemerlang,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Munoz, biarpun Arif Aiman tidak menjaringkan gol, dua bantuan jaringannya sudah cukup untuk memastikan kemenangan bergaya buat skuad Harimau Selatan.
“Arif memahami kehendak saya dalam perancangan taktikal. Mungkin dia tidak menjaringkan gol tetapi dua bantuan jaringan yang dilakukannya sudah memadai.
“Nasihat saya kepadanya ialah mengekalkan momentum permainan dan jangan berputus asa walaupun gagal menyempurnakan percubaan. Kesungguhan dan semangat juangnya wajar diberi pujian, justeru saya anggap dia wira JDT,” ujar Munoz.
Mengulas mengenai aksi tumpul di babak pertama, Munoz menjelaskan beliau memberi kata-kata semangat kepada pemain ketika rehat separuh masa agar terus berjuang dan tidak mudah berputus asa.
Beliau turut mengesahkan kehilangan tonggak tengah, Ager Aketxe, yang terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu selepas mengalami kecederaan pada minit ke-19.
Munoz turut mengingatkan pasukan agar kekal fokus kerana saingan ke peringkat lapan pasukan terbaik masih terbuka luas.
“Selepas Ager cedera, saya masukkan Afiq (Fazail) dan mengubah formasi kepada 4-4-2. Kami mengekalkan intensiti dengan serangan dari sayap kiri dan kanan, dan hasilnya, kami berjaya mengawal rentak permainan sepenuhnya.
“Apapun, saingan masih panjang. Perlawanan seterusnya menentang Melbourne City FC bakal lebih mencabar kerana mereka mula menunjukkan peningkatan mendadak. Saya perlu memastikan setiap kelemahan diperbaiki,” ujarnya.-UTUSAN










