Malaysia naib juara WCGC di Shanghai

Malaysia naib juara Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) di Shanghai

ISYRAF Widad Muhammad Ikmal Opat (kiri) dan Muhammad Adib Ibrahim bergambar bersama trofi selepas muncul naib juara dunia pada Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) di Kelab Golf Dongzhuang, Shanghai, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Widad Skycore Malaysia yang diwakili oleh Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat dan Muhammad Adib Ibrahim muncul naib juara dunia dalam Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) Peringkat Akhir Dunia 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Dongzhuang, Shanghai dari 19 hingga 23 Oktober lalu.

Dua wakil negara itu menamatkan saingan dua hari dengan kutipan 80 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan Guojiao 1573 [2] dari China yang meraih 81 mata untuk dinobatkan sebagai juara dunia.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Guojiao 1573 [1], juga dari China dengan kutipan 79 mata.

Pencapaian membanggakan ini mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa dan mengukuhkan reputasi negara sebagai kuasa baharu dalam arena golf korporat dunia.

PASUKAN yang mewakili Malaysia dan pihak pengurusan kejohanan WCGC bergambar sebaik tiba di International Airport Pudong, Shanghai bagi menyertai Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) Peringkat Akhir Dunia 2025, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut juga membuktikan kemampuan syarikat tempatan bersaing di peringkat global menerusi gabungan kemahiran, strategi dan disiplin tinggi.

Sementara itu, Pasukan Leonian Malaysia yang dianggotai oleh Anushka Gayan dan Lee Robert menamatkan saingan di tempat kelima dengan kutipan 74 mata selepas dua hari permainan kompetitif itu.

Kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi medan persaingan golf tetapi juga platform utama menghimpunkan komuniti eksekutif korporat dari seluruh dunia bagi menjalin rangkaian antarabangsa dan memperkukuh hubungan perniagaan global.

Difahamkan, pertandingan yang berlangsung di dua hari di padang ikonik iaitu Linksland dan Parkland memberi cabaran taktikal kepada para peserta dengan rekaan padang yang strategik serta pemandangan yang mempesonakan.

Di Malaysia, Cabaran Golf Korporat Dunia berada di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berperanan memperkukuh hubungan antara komuniti korporat dan sukan tempatan serta membuka peluang kepada pemain golf korporat negara untuk bersaing di pentas dunia. 

Sementara itu, Tengku Amir Shah mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan menzahirkan harapan agar kejayaan yang lebih cemerlang dapat dicapai dalam kejohanan WCGC akan datang di peringkat Malaysia dan antarabangsa.

Selain Enotech, turut tampil sebagai penaja bersama ialah Konsortium Jaringan Selangor, Spectrum Outdoor, Simple Advantage, CelcomDigi, PlusMax Duty Free, Ancom Nylex Berhad , World Klang Group, KUSEL, Avisena Healthcare, Les Copaque Production Sdn. Bhd., Cuckoo Malaysia dan disokong oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta lain-lain penaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN