LIVERPOOL: Liverpool terus dirundum malang apabila dibelasah 4-1 di laman sendiri oleh PSV Eindhoven pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Anak buah Arne Slot ketinggalan menerusi penalti Ivan Perisic dan jaringan penyamaan Dominik Szoboszlai gagal menaikkan semangat tuan rumah.
Gol Guus Til dan dua gol Couhaib Driouech pada babak kedua menenggelamkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagi kekalahan kesembilan dalam 12 perlawanan terakhir semua pertandingan.
Keputusan itu menyaksikan tekanan semakin meningkat ke atas Slot, dengan sorakan tidak puas hati penyokong kedengaran selepas perlawanan berakhir.
The Reds musim ini dijangka menguasai semua pertandingan selepas menambah beberapa muka baharu sejurus kejayaan menjulang gelaran musim lalu.
Namun, mereka kini berdepan masalah apabila deretan pemain bintang gagal menyerlah, sekali gus membuatkan suasana tidak harmoni dalam pasukan.
Dengan harapan mempertahankan gelaran EPL semakin berkecai, Liverpool juga belum pasti mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas kekalahan kedua dalam lima perlawanan.
Kekalahan itu juga adalah yang pertama di laman sendiri pada fasa awal Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun.
The Reds kini menghuni tangga ke-13 fasa liga, dengan lapan teratas mara secara automatik ke pusingan 16 terakhir.- AGENSI










