PETALING JAYA: Keselamatan kontinjen negara ke Sukan SEA 2025 menjadi keutamaan sekiranya situasi banjir yang melibatkan 10 wilayah selatan Thailand bertambah buruk.
Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA 2025, Datuk Kenny Goh berkata, Majlis Sukan Olimpik (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia menukar perancangan jika keadaan memerlukan.
“Pihak urus setia sentiasa memantau situasi di sana. Masih terlalu awal dan jika memerlukan pelan kontigensi kami akan mengadakannya. Paling penting adalah keselamatan kontinjen.
“Buat masa sekarang, saya tak pasti mengenai sebarang pelan tetapi kami masih memantau dan pihak urus setia sentiasa berhubung dengan jawatankuasa penganjur Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan latihan skuad skuasy kebangsaan di sini, semalam.
Ditanya sama ada kontinjen negara yang akan bergerak ke Songkhla menggunakan jalan darat akan berubah kepada kapal terbang, Kenny tidak menolak ada kemungkinan.
“Kalau keadaan memaksa ya, saya pun fikir begitu tapi saya tidak mahu membuat sebarang andaian. Macam saya cakap, keutamaan adalah keselamatan. Kalau kena tukar perancangan kami akan melakukannya.
“Namun, buat masa sekarang tiada sebarang pertukaran perancangan dan kami masih memantau,” katanya.
Beliau turut menambah, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai mana-mana venue pertandingan di Songkhla terkesan akibat banjir dan MOM sentiasa memantau mengenai perkara tersebut.
Songkhla merupakan salah satu wilayah utama selain Bangkok dan Chonburi untuk Sukan SEA edisi kali ini, termasuk beberapa acara teras iaitu bola sepak, catur, kabadi, karate dan pencak silat yang melibatkan atlet negara.-UTUSAN










