Kemelut belum reda, FAM kini berdepan Tribunal FIFA

Kemelut belum reda, FAM kini berdepan Tribunal FIFA

WINDSOR PAUL JOHN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdepan satu lagi cabaran baharu apabila Tribunal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut membuka siasatan berasingan terhadap badan induk itu.

Perkembangan terbaharu ini disahkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, bahawa FAM sedang melalui dua proses berlainan iaitu di bawah Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA.

Menurut Windsor, kes yang dibawa ke Tribunal FIFA lebih tertumpu kepada isu kelayakan tujuh pemain warisan untuk mewakili skuad kebangsaan (eligibility to represent Malaysia), dan kini dalam peringkat penilaian lanjut oleh panel berkenaan.

“Kita semua kena tahu bahawa FAM sebenarnya berhadapan dengan dua kes iaitu membabitkan FIFA atas kesalahan pemalsuan dokumen dan badan induk itu juga berhadapan lagi kes dengan Tribunal FIFA yang masih berjalan sekarang ini.

“Berkaitan Tribunal FIFA adalah lebih kepada ‘eligibility to represent Malaysia’ dan apabila bila sudah ada keputusan nanti termasuk membabitkan kes dibawa ke CAS, mungkin AFC boleh melihat apa yang boleh dilakukan oleh AFC.

“Tribunal FIFA akan meneliti aspek ‘eligibility to represent Malaysia’. Apabila keputusan rasmi diperoleh kelak, termasuk hasil kes yang dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), barulah AFC dapat menilai langkah susulan,” jelasnya.

Tribunal FIFA berfungsi sebagai ‘mahkamah dalaman’ badan induk bola sepak dunia yang meneliti kes membabitkan tatatertib, rayuan, status dan kelayakan pemain.

Dalam konteks kes FAM, tribunal berkenaan sedang menyemak semula dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan yang dikaitkan dengan pelanggaran syarat kelayakan antarabangsa.

Difahamkan, FAM kini berdepan tiga kemungkinan besar sama ada hukuman dikekalkan, diringankan atau lebih berat namun segalanya bergantung kepada hasil penilaian dokumen serta sejauh mana tribunal berpuas hati bahawa tiada unsur penipuan dalam pendaftaran pemain tersebut.

“Masih panjang perjalanan kes ini. Rayuan yang ditolak sebelum ini bukan pengakhiran, malah FAM serta tujuh pemain berkenaan perlu menunggu keputusan penuh daripada Tribunal FIFA,” ujar Windsor.

Terdahulu, FAM gagal dalam rayuan ke atas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, sekali gus menyebabkan hukuman sedia ada dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Hukuman yang dikekalkan termasuk denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, serta penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang terhadap tujuh pemain yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berhubung pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN