KBS serah isu pemalsuan dokumen kepada KDN

KBS serah isu pemalsuan dokumen kepada KDN

warisan
FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berdepan dakwaan pemalsuan dokumen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melakukan siasatan jika terdapat unsur jenayah dalam pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya seperti yang didakwa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau sudah pun menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tindakan susulan kerana isu tersebut di luar kuasa KBS.

“Untuk aspek jenayah, itu di bawah bidang kuasa KDN, jadi kita akan serahkan kepada KDN dan saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri tapi saya belum dapat maklum balas sebab saya baru menghubungi beliau.

“Saya rasa bagi beliau masa untuk meneliti juga dan saya pasti KDN akan menjawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman penajaan Skechers x Team Malaysia, Sukan SEA ke-33, semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FIFA mencadangkan agar sekretariat Persatuan Bolasepak (FA) di lima buah negara yang terbabit dengan skandal pemalsuan dokumen itu wajar disiasat pihak berkuasa.

Menurut FIFA lagi, satu laporan polis perlu dibuat oleh lima FA babitkan Argentina, Brazil, Sepanyol, Belanda dan Malaysia.

Ketika ditanya mengenai pandangan Hannah berhubung keputusan FIFA mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen beliau enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya, Hannah berkata, beliau akan menjawab kesemuanya dalam sesi menjawab penggulungan belanjawan 2026 di parlimen hari ini.

“Semua ini akan dijawab dalam parlimen esok (hari ini), saya tak nak mendahului menerusi sidang media. Saya harap media mengikuti sidang parlimen. Tunggu esok (hari ini),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN