MUNICH: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane akan mengetuai jentera serangan The Bavarians bagi merobek gawang Arsenal menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di stadium Emirates, awal pagi esok.
Bintang England itu, sentiasa menjadi pencetak gol konsisten dan kini menjadi pemain lebih lengkap di Bayern, memikul tanggungjawab kreatif selain membantu ketika bertahan.
Prestasi pemain berusia 32 tahun itu antara sebab utama permulaan cemerlang Bayern musim ini, di mana juara Jerman tersebut menang 17 kali dan seri sekali daripada 18 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, dengan Kane diturunkan dalam setiap perlawanan.
Kane, yang sudah mencetak 15 gol dalam 21 pertemuan menentang Arsenal, mungkin menjadi kunci untuk menembusi pertahanan ketat The Gunners yang merupakan satu-satunya pasukan belum bolos dalam UCL musim ini.
Dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pula, Arsenal hanya dibolosi enam gol sekali gus menjadikan ia rekod terbaik dalam lima liga utama Eropah.
“Saya tahu saya bukan sekadar pencetak gol. Saya boleh beri impak kepada pasukan melalui hantaran, situasi satu lawan satu dan mengurangkan tekanan kepada pasukan.
“Ini kali pertama saya benar-benar menikmati bola sepak kerana lebih banyak terbabit. Saya suka cara kami bermain. Gaya agresif dan tanpa rasa takut.
“Saya suka terjahan, membantu pasukan dan menangkis percubaan lawan. Itu semua sebahagian daripada permainan saya.
“Sudah tentu, saya akan dinilai berdasarkan gol, tetapi musim ini orang akan hargai perkara lain yang saya lakukan juga,” kata Kane.
Kane dijangka memikul lebih banyak beban menjaringkan gol berikutan ketiadaan Luis Diaz, yang dikenakan penggantungan tiga perlawanan UCL selepas dilayangkan kad merah ketika menang 2-1 ke atas Paris Saint-Germain. – AGENSI










