PETALING JAYA: Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Nepal pada Selasa lalu tidak mematahkan semangat penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue.
Menurut pemain Kuala Lumpur City (KL City) itu, kegagalan itu adalah perkara biasa dalam bola sepak dan beliau tidak akan serik untuk mengambil tugasan itu lagi dalam aksi akan dating.
Pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu yang sudah mencatat 10 gol daripada 28 penampilan bersama Malaysia sejak debut pada 2023, juga menegaskan kegagalan itu tidak melemahkan semangatnya.
“Saya gagal sepakan penalti, tapi ia perkara biasa dalam bola sepak. Saya tidak mahu larut dalam kesedihan, sebaliknya mahu fokus pada perlawanan seterusnya.
“Saya seorang penyerang dan tugas saya adalah membantu pasukan menjaringkan gol. Dalam 10, 20 atau 30 minit terakhir, saya sentiasa bersedia untuk membantu pasukan. Saya ambil peluang itu, tapi gagal kali ini,” katanya.
Pada Selasa lalu, Malaysia menewaskan Nepal 1-0 pada aksi kedua terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus merekodkan kemenangan bersih dalam Kumpulan F.
Menurut Josue, pengalaman dan mentaliti seorang penyerang membolehkannya bangkit dengan cepat walaupun gagal dalam situasi genting.
“Saya tahu peluang ini penting, tapi saya takkan biarkan ia menghalang saya. Saya mahu terus beraksi dan membantu Harimau Malaya mencapai kejayaan,” katanya.
Pada masa sama, Josue menegaskan dia akan mengekalkan semangat juang tinggi dan terus menjadi antara penggempur utama skuad negara dalam baki kelayakan Piala Asia.
Mengikut rekod, skuad kebangsaan akan berdepan Vietnam di Hanoi pada 31 Mac tahun depan dan ia dianggap aksi penentu pasukan yang akan melayakkan diri ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti.-UTUSAN










