TOKYO: Dua atlet lompat jauh negara, Hazrul Syah Hamri dan Zaiman Megat Abu, enggan menjadikan kecederaan sebagai alasan untuk tidak meraih podium apabila turun dalam aksi final lompat jauh di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, hari ini.
Zaiman, yang mengalami kecederaan kecil pada tumitnya ketika aksi lompat kijang pada Rabu lalu, optimis mampu melompat melebihi 7 meter (m) biarpun rekod terbaik semasa ialah 6.99m.
Penolong ketua jurulatih olahraga negara, Sanusi Zainal Abidin berkata, Zaiman berpotensi melepasi sasaran itu susulan prestasinya dalam latihan yang mampu melebihi 7m.
“Kecederaan Zaiman tidak menganggu fokusnya untuk final lompat jauh kerana sakitnya hanya faktor kecil. Dalam latihan dia melepasi 7m dan sekiranya dapat kawal emosi, tidak mustahil kejutan akan berlaku,” kata Sanusi.
Pada aksi kelayakan Kumpulan A Jumaat lalu, Zaiman menduduki tempat kelima dengan lompatan sejauh 6.46m, sekali gus menempah tiket ke final bersama Hazrul yang menamatkan Kumpulan B di tempat keenam (6.26m).
Sementara itu, Hazrul juga enggan menjadikan kecederaan sendi yang dialaminya sebagai alasan untuk menampilkan aksi terbaik dalam final.
Hazrul berdepan kecederaan itu selepas tersingkir pada acara pecut 100m akibat cuaca ekstrem Tokyo serendah 11 darjah Celcius ketika ini.
“Cuaca di sini terlalu sejuk sehingga sendi saya terasa sakit, namun saya akan buat yang terbaik walaupun cuaca dijangka kekal sejuk.
“Kami sudah terbiasa berlatih dalam cuaca panas di Malaysia, jadi pada Isnin (hari ini) kami benar-benar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi apa sahaja keadaan,” kata Hazrul.-UTUSAN










