MALAYSIA memasuki fasa baharu dalam perkembangan industri kenderaan elektrik (EV) apabila beberapa insentif cukai yang sebelum ini merancakkan pasaran bakal ditamatkan menjelang akhir tahun ini.
Pada masa sama, kerajaan turut merancang memperkenalkan cukai jalan khusus untuk EV, sekali gus menandakan perubahan ketara dalam pendekatan dasar terhadap mobiliti hijau.
Tatkala pengeluar tempatan seperti Proton dengan e.MAS 7 dan e.MAS 5 mendapat sambutan hangat dan Perodua pula dijangka melancarkan modelnya, QV-E akhir bulan ini, perubahan dasar ini dikhuatiri sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasaran EV negara.
Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah berkata, perubahan tersebut sudah pasti akan memberi kesan jangka pendek, terutama kepada EV import sepenuhnya (CBU) yang selama ini menikmati pengecualian duti sehingga 31 Disember 2025.
Sebaliknya, beliau berkata, EV pemasangan tempatan (CKD) masih menerima pengecualian eksais dan cukai jualan sehingga 2027.
“Ini bermakna, jika mana-mana jenama mahu kekal kompetitif di Malaysia selepas 2025, mereka perlu datang dengan pelan CKD yang jelas, termasuk pelan pelaburan serta pemindahan teknologi kepada ekosistem tempatan.
“Cukai jalan EV yang bermula 2026 pula telah ditetapkan jauh lebih rendah daripada struktur lama, ia kekal dalam lingkungan ratusan ringgit sahaja.
“Jadi, walaupun pengguna mula membayar cukai jalan, jumlahnya masih kecil berbanding kos penyelenggaraan petrol dan servis berkala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, apabila pengecualian duti untuk CBU tamat akhir 2025, segmen EV premium CBU yang banyak bergantung pada insentif sekarang berisiko mengalami kenaikan harga kerana duti import dan duti eksis akan kembali dikenakan.
Menurutnya, segmen EV di bawah harga RM100,000 adalah ruang persaingan sebenar yang dijangka berlaku berikutan tekanan harga pasaran serta kemasukan lebih banyak model dari China dan jenama antarabangsa lain akan membantu mengekang kenaikan harga dalam segmen ini.
“Dalam masa sama, EV Proton dan Perodua yang bakal melancarkan model baharunya akan menjadi peneraju kepada segmen mampu milik. Mereka beroperasi dalam rangka kerja CKD yang masih menikmati insentif sehingga 2027 dan rangkaian vendor tempatan boleh dibangunkan meliputi bateri, motor, elektronik kuasa dan komponen casis.
“Ini memberi ruang kepada Proton dan Perodua untuk menawarkan EV yang lebih kompetitif berbanding model CBU import, sambil menyokong pekerjaan serta pelaburan dalam negara.
Sementara itu, Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC), Datuk Shahrol Halmi berkata, perubahan harga EV pada 2026 masih belum ketahui dengan jelas, selain daripada berakhirnya pengecualian cukai import dan duti eksais untuk EV yang diimport.
Katanya, terdapat beberapa ketidakpastian mengenai harga dasar CBU RM100,000 serta bagaimana pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV) yang baharu akan memberi kesan kepada jumlah duti eksais yang dibayar.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan pasaran EV untuk tahun 2026 akan didominasi oleh Proton dan juga berpotensi pada Perodua, bergantung pada bagaimana model QV-E mereka diterima oleh pasaran. Terdapat juga persoalan tentang seberapa cepat Perodua dapat meningkatkan pengeluaran.
“Jenama lain seperti BYD, Chery dan Leapmotor juga telah mengumumkan bahawa mereka akan memasang model EV terpilih di dalam negara, jadi mereka juga akan menjadi pemain utama dalam pasaran kita, berpotensi memperkenalkan model berharga lebih rendah daripada barisan sedia ada mereka,” jelasnya.
Mengulas mengenai infrastruktur sokongan bagi menyokong industri EV negara, Shahrol berkata, negara tidak mencapai sasaran 10,000 ruang pengecasan EV awam menjelang akhir tahun 2025, meskipun terdapat desakan kuat daripada pengendali pusat pengecasan.
Jelasnya, dengan permintaan yang kukuh untuk EV yang lebih mampu milik seperti 10,000 tempahan yang dibuat untuk Proton e.MAS 5, terdapat risiko yang lebih tinggi bahawa infrastruktur pengecasan EV kita akan gagal memenuhi jangkaan, terutamanya di sepanjang lebuh raya utama.
“MyEVOC menyeru kerajaan untuk menjalankan semakan semula pelaksanaan infrastruktur, dengan tujuan menggunakan pembelajaran utama bagi memastikan infrastruktur pengecasan EV dapat berkembang seiring dengan jualan EV.
“Satu caranya adalah dengan memberikan mandat ini kepada Majlis Tokoh-tokoh Terkemuka Automotif sebagai tambahan,” jelasnya. – UTUSAN










