PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski terus mempamerkan sentuhan magis apabila membantu Harimau Malaya melonjak dua anak tangga dalam ranking dunia FIFA untuk berada di kedudukan ke-116.
Peningkatan itu membuktikan badai yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjejaskan fokus serta momentum Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia itu.
Dalam kemaskini terbaharu, Malaysia naik dua anak tangga berbanding ranking ke-118 pada 17 Oktober lalu, sekali gus meneruskan pendakian konsisten selepas berada di kedudukan ke-131 pada April lalu.
Cklamovski menegaskan skuad negara tidak akan hanyut dengan kontroversi berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM.
Menurutnya, apa yang berlaku di luar padang kini bukan lagi sekadar gangguan ringan, tetapi badai yang cuba menggugat tumpuan pemain.
Namun begitu, beliau menekankan pasukan tetap berpegang kepada prinsip yang sama sejak hari pertama beliau mengambil alih Harimau Malaya.
“Kita semua sedar apa yang berlaku di luar sana, tetapi itu bukan sesuatu yang boleh kami kawal. Pemain pun tidak boleh kawal. Apa yang ada dalam kawalan kami hanyalah disiplin, kerja keras dan apa yang kami usahakan setiap hari di padang latihan,” katanya.
Dalam perkembangan ranking Asia Tenggara, Thailand kekal sebagai pasukan terbaik rantau ini di kedudukan ke-95, diikuti Vietnam (110), Indonesia (122), Filipina (136) dan Singapura (151).
Di Asia, Jepun terus menguasai kedudukan apabila berada di ranking ke-18 dunia, disusuli Iran (20) dan Korea Selatan (22).
Sementara itu di peringkat global, Sepanyol mengekalkan status sebagai pasukan No.1 dunia, diikuti Argentina di tempat kedua dan Perancis ketiga.-UTUSAN










