Harimau Malaya masih ‘gagah’

Harimau Malaya masih ‘gagah’

HARIMAU Malaya akan berdepan Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya masih mempunyai kekuatan yang cukup baik untuk berdepan pasukan di rantau Asia biarpun tanpa tujuh pemain warisan yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara itu diakui kapten skuad kebangsaan, Dion Cools yang melihat isu luar padang, termasuk membabitkan tujuh pemain warisan, tidak mengganggu matlamat utama iaitu memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027.

Menurutnya, fokus utama seluruh pasukan kini hanya terarah kepada misi wajib menang menentang Nepal pada aksi timbal balik kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

“Apa yang boleh kami kawal, kami akan kawal. Bagi kami pemain dan kakitangan, tugas kami jelas iaitu layak ke Piala Asia dan itu bermula dengan kemenangan pada Selasa ini ke atas Nepal.

“Saya percaya kami memiliki kualiti yang lebih daripada cukup untuk bersaing dengan pasukan Asia lain. Kami hanya perlu terus bekerja keras, berlatih bersungguh-sungguh dan menang pada hari perlawanan,” katanya.

Pada pertemuan pertama Mac lalu, Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 dan kemenangan sekali lagi bakal mengukuhkan kedudukan skuad bimbingan Peter Cklamovski sebagai pendahulu Kumpulan F.

Skuad kendalian Peter Cklamovski ketika ini mendahului Kumpulan F dengan 12 mata hasil empat kemenangan berturut-turut,engatasi Vietnam, Laos dan juga Nepal.

Mengulas pertemuan dengan Nepal yang kini dikendalikan, Hari Khadka, Cools berkata skuad negara akan membuat persiapan rapi terhadap beberapa kemungkinan taktikal lawan.

“Kami sentiasa cuba bermain mengikut corak permainan kami sendiri. Saya sudah ada gambaran bagaimana mereka mungkin bermain, dan kami sedang bekerja untuk mencari penyelesaian terhadap apa yang mereka akan cuba lakukan.

“Tetapi dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku, mereka boleh tukar sistem, masukkan pemain lain. Jadi kami tidak boleh baca sepenuhnya siapa yang akan beraksi.

“Namun apabila tiba masa perlawanan, kami akan tahu sepenuhnya siapa pemain berbahaya mereka dan bagaimana untuk mengeksploitasi kelemahan mereka,” kata Cools.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN