PETALING JAYA: Isu luar padang dan khabar angin mengenai kontrak Peter Cklamovski tidak mengganggu fokus Harimau Malaya untuk mengekalkan rekod kemenangan ‘bersih’ dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Aksi Kumpulan F menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini bukan sahaja sekadar misi mengekalkan rekod bersih, malah Harimau Malaya mahu menutup tirai tahun ini dengan kemenangan bergaya.
Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan kekuatan mental menjadi kunci utama menjelang aksi menentang Nepal dan menyeru rakan sepasukannya memanfaatkan peluang menjaringkan gol sebanyak mungkin.
Jelasnya, berdepan pasukan yang menerapkan taktikal bertahan tentu sekali memberi kesukaran, namun Cools anggap ia situasi sama seperti mana mereka berdepan Laos sebelum ini.
“Saya rasa semuanya bermula daripada aspek mental, iaitu mengetahui apa yang boleh kami jangkakan. Saya rasa ia akan sama seperti aksi sebelum ini menentang Laos. Jadi, saya rasa anda boleh lihat bahawa bagi kami, separuh masa pertama mungkin sedikit sukar untuk mencari ruang, tetapi pada separuh masa kedua akhirnya kami menemui banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Sebagai satu pasukan, kami hanya perlu bersabar, bermain bola sepak berintensiti tinggi dan cuba melemahkan lawan.
“Pada masa yang sama, kami perlu kekal positif. Saya tahu peluang akan datang dan akhirnya gol juga akan hadir. Jadi, kami perlu kekal tajam, agresif dan cuba bermain dengan pantas,” katanya.-UTUSAN










