Faizal sedia kembali perkuat Speedy Tigers

Faizal sedia kembali perkuat Speedy Tigers

FAIZAL Saari ketika bersama skuad hoki kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang sensasi Speedy Tigers, Faizal Saari memberi bayangan untuk keluar daripada persaraan dan kembali memperkuatkan jentera serangan skuad hoki kebangsaan.

Pemain berusia 34 tahun itu yang pernah menjadi antara penggempur paling digeruni Asia, mengakui semangat untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa masih membara biarpun sudah 10 bulan meninggalkan skuad kebangsaan.

“Hasrat untuk kembali ke skuad kebangsaan sentiasa ada dalam diri saya. Jika diberi ruang dan peluang, insya-Allah saya sedia menabur bakti,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Menurut Faizal, usia bukan halangan untuk kembali memperkuatkan pasukan negara selagi fizikal, disiplin dan prestasinya masih berada pada tahap kompetitif.

“Saya tetap berlatih, saya jaga fizikal saya dan saya masih percaya saya mampu beri sesuatu kepada pasukan negara,” katanya.

Faizal yang mula menyarung jersi kebangsaan seawal usia 18 tahun, sudah merekodkan 302 penampilan bersama Malaysia sepanjang 15 tahun kariernya, termasuk di pentas Piala Dunia, Piala Asia dan beberapa kejohanan besar lain.

Pengumuman pemain prolifik itu dianggap perkembangan positif menjelang Kelayakan Piala Dunia awal tahun depan, sekali gus mampu menambah bisa di jentera serangan negara.

Untuk rekod, Faizal mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan pada Februari lalu, namun komitmen serta minatnya terhadap sukan hoki nyata tidak pernah pudar.

Andai mendapat lampu hijau daripada barisan kejurulatihan, kemunculan semula Faizal pastinya bakal menyuntik semangat baharu buat Speedy Tigers dalam usaha menempah tiket ke pentas dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN