Suspek kelima bunuh wanita ditahan, polis tunggu laporan bedah siasat

Suspek kelima bunuh wanita ditahan, polis tunggu laporan bedah siasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan bogel dan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki tempatan menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini adalah lima orang.

Menurutnya, suspek kelima itu direman lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Tiga suspek lelaki sebelum ini telah direman selama lima hari bagi reman pertama disambung tiga hari bagi reman kedua yang tamat pada 7 November (esok).

“Suspek keempat, seorang wanita, juga direman lima hari bagi reman pertama dan disambung tiga hari lagi bagi reman kedua yang tamat pada Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan pada Jumaat lalu membabitkan bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa berusia antara 24 hingga 30 tahun.

Suspek keempat yang juga wanita berusia 30-an itu adalah rakan serumah mangsa di kawasan kediaman di Taman Castlefield, Cheras, di sini.

Menurut Muhamad Farid, laporan bedah siasat berhubung punca kematian masih belum diperoleh kerana menunggu keputusan analisis makmal.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Mayat mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang itu ditemukan orang awam pada pukul pada 29 Oktober lalu selepas terhidu bau mencurigakan ketika melalui kawasan Jalan Anggerik, Seri Kembangan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN