PETALING JAYA: Kurang dari sebulan sebelum berlangsungnya Sukan SEA Thailand, Olahraga Malaysia (MA) telah menyenaraikan 48 atlet bagi menggalas cabaran ke temasya tersebut.
Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengetuai senarai tersebut yang akan bertanding dalam acara 100 meter (m), 200m dan 4x100m selepas Muhammad Azeem Fahmi sah tidak bertanding di temasya itu
Danish akan beraksi bersama Jonathan Nyepa dan Pingiran Aidil Auf Hajam manakala Aliff Iman Mohd Fahimi dan Khairul Hafiz Jantan hanya beraksi 4x100m.
Bagi acara 400m lelaki, sandaran negara diletakkan kepada juara bertahan, Umar Osman manakala pemenang pingat emas Sukan SEA enam edisi berturut-turut, Irfan Shamsuddin akan turun mempertahankan kejuaraannya dalam acara lempar cakera.
Turut tersenarai adalah Andre Anura Anuar bagi acara lompat kijang dan lompat jauh, Jonah Chang (lontar peluru dan lempar cakera), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m), Farrell Glenn Felix Jurus (lompat jauh) serta Jackie Wong (tukul besi).
Sementara itu, pemegang rekod 100m wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli akan memburu pingat dalam acara tersebut dan 4x100m bersama Nur Aishah Rofina Aling manakala Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka beraksi dalam acara 200m.
Jaguh jarak jauh, Shereen Samson Vallabouy turut tersenarai bersama Nor Sarah Adi (lompat galah), Grace Wong (tukul besi) dan Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera).
Malaysia sebelum ini membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan 11 gangsa pada Sukan SEA 2023 di Kemboja. – UTUSAN









