Bayangkan seorang bayi lelaki berusia 14 bulan, lahir dan dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan. Keluarga ini sangat menekankan prinsip ‘semua mesti organik’.
Namun, sejak berhenti menyusu pada usia 10 bulan, bayi ini hanya diberikan bubur campuran bijirin organik semata-mata. Tiada sumber protein haiwan, tiada buah-buahan mahupun sayur-sayuran. Apa yang mereka anggap sebagai ‘yang terbaik’ untuk bayi mereka, rupanya menimbulkan risiko besar terhadap pertumbuhan dan kesihatan si kecil.
Bayi ini tiba di klinik dalam keadaan tubuhnya diselimuti beberapa lapisan kain. Sebaik sahaja selimut dibuka, terserlah satu realiti yang sangat menyayat hati, tubuh kecil yang kurus kering dengan kulit berlipat-lipat menutupi otot yang hampir tiada.
Ini antara wajah sebenar Malpemakanan Protein Tenaga yang dikongsikan Profesor Pusat Kajian Komuniti (Reach) Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Poh Bee Koon, yang bukan berlaku di kawasan pedalaman yang terpencil tetapi di tengah-tengah kota moden.

Malpemakanan adalah merujuk kepada seseorang yang mengalami kekurangan, berlebihan atau ketidakseimbangan nutrisi makanan. Kekurangan pemakanan boleh menyebabkan kanak-kanak bantut, susut badan dan kurang berat badan.
Bee Koon berkata, tempoh 1,000 hari pertama kehidupan bermula daripada persenyawaan sehingga ulang tahun kedua kelahiran adalah fasa kritikal bagi pertumbuhan kanak-kanak.
“Tempoh ini diikuti oleh 1,000 hari kedua iaitu dari usia 2 hingga 5 tahun, seterusnya fasa peralihan kanak-kanak pada usia 6 hingga 12 tahun dan akhirnya fasa perkembangan pesat remaja antara usia 13 sehingga 18 tahun.
“Setiap fasa ini adalah penting kerana kegagalan mencegah malpemakanan pada mana-mana peringkat umur ini akan mencetuskan apa yang dikenali sebagai Kitaran
Ganas Malpemakanan,” katanya pada Syarahan Perdana Profesor UKM, Menyingkap realiti Malpemakanan kanak-kanak dan Strategi menanganinya, di Bangi, baru-baru ini.
Katanya, kitaran ini bermula daripada remaja dan gadis yang kurang bersedia secara fisiologi akibat corak pemakanan dan gaya hidup tidak sihat termasuk obesiti.
Keadaan ini berterusan semasa kehamilan, sekali gus meningkatkan risiko kepada janin.
“Bayi yang dilahirkan kemudiannya berisiko menerima penyusuan dan diet cerai susu yang tidak mencukupi, sebelum membesar sebagai kanak-kanak dengan jisim lemak tinggi, perkembangan neurokognitif yang terjejas, serta dibesarkan dalam persekitaran tidur dan diet yang tidak sihat.
“Sekiranya rantaian ini tidak diputuskan, kanak-kanak yang mengalami malpemakanan ini akan membesar menjadi remaja dan wanita muda yang tidak sihat, sekali gus mewariskan beban malpemakanan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Hampir 43 juta kanak-kanak di seluruh dunia sedang bergelut dengan malpemakanan akut yang menunjukkan kehilangan berat badan secara mendadak atau kegagalan untuk menambah berat badan dalam tempoh singkat.
Malpemakanan bukan sekadar masalah berat badan sahaja. Ia juga menjejaskan pertumbuhan seperti masalah ‘bantut’ yang kesannya kekal sepanjang hayat.
Bantut adalah kesan malpemakanan kronik yang menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak.
Malpemakanan juga boleh dilihat dari perspektif berlebihan pemakanan yang menyebabkan obesiti dan definisikan sebagai ‘Beban Berganda Malpemakanan’. Beban ini menjadi lebih kompleks apabila kekurangan mikronutrien seperti zat besi, zink, vitamin A dan iodin turut berlaku secara serentak. Keadaan inilah yang membawa kepada fenomena yang dikenali sebagai ‘Beban Ganda Tiga Malpemakanan’.
Menangani malpemakanan
Oleh itu, usaha menangani malpemakanan perlu bermula seawal usia kanak-kanak dan remaja kerana intervensi awal bukan sahaja melindungi kesihatan individu malah memutuskan rantaian risiko yang merentas generasi.
Bee Koon berkata, sebahagian daripada usaha menangani beban berganda malpemakanan merentasi kitaran hayat, membabitkan pelaksanaan program pendidikan pemakanan.
“Sehubungan itu, saya bersama rakan-rakan penyelidik membangunkan beberapa program intervensi yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja bagi menangani masalah malpemakanan. Salah satu inisiatif itu adalah Program ToyBox Study Malaysia.
“Program ini direka untuk membentuk langkah sihat dalam kalangan kanak-kanak Prasekolah melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan. Program ini adalah adaptasi daripada modul asal ToyBox Eropah yang disesuaikan dengan konteks budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia,”katanya.
Katanya lagi, fokus utama program ini adalah melalui empat modul utama berkaitan keseimbangan tenaga iaitu makanan dan snek sihat, aktiviti fizikal, pengambilan air kosong serta pengurangan tingkah laku sedentari.
Pelaksanaan program membabitkan pemantauan di lapangan, pendidik, dan pembabitan ibu bapa untuk memastikan modul disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak.
“Pelaksanaan dan hasil kajian keberkesanan program dapat dilihat melalui aktiviti interaktif di dalam mahupun luar bilik darjah. Melalui pendekatan ini, kita berjaya melihat perubahan tingkah laku yang positif dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
“Antara pencapaian utama yang dilaporkan adalah kanak-kanak lebih gemar minum air kosong dan lebih banyak mengambil buah dan sayur. Data kajian menunjukkan penurunan yang signifikan bagi kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes dalam kumpulan intervensi berbanding kumpulan kawalan. Kadar obesiti juga berkurang dalam kumpulan intervensi selepas tempoh program tamat,”katanya.
Dengan kejayaan program ToyBox Study Malaysia, ia diperluas kepada platform digital yang dikenali sebagai eToyBox pada 2020, seiring dengan bermulanya pandemik
Covid-19. Inisiatif ini dibangunkan oleh kumpulan penyelidik untuk menyokong pembelajaran kendiri guru prasekolah dan menyediakan bahan pengajaran interaktif yang mudah digunakan.
Program Juara Sihat untuk kanak-kanak sekolah rendah
Usaha diteruskan kepada kumpulan kanak-kanak sekolah rendah melalui Program Juara Sihat. Program ini menyasarkan murid berumur 9 sehingga 12 tahun dan guru di
Kuala Lumpur, bertujuan menangani gaya hidup sedentari dan tabiat makan tidak sihat.
Berteraskan dua tunjang utama, iaitu pendidikan pemakanan dan pendidikan aktiviti fizikal, program ini membangunkan modul latihan khusus untuk kanak-kanak dan fasilitator. Modul yang dibangunkan merangkumi enam topik utama disesuaikan dengan tahap murid.
Program selama 12 minggu ini merangkumi aktiviti interaktif berdasarkan modul di dalam dan luar bilik darjah, pelbagai pertandingan dan demonstrasi memasak.
Program intervensi turut membabitkan murid dan ibu bapa, bagi memupuk sokongan terhadap amalan gaya hidup sihat.
Hasil Program Juara Sihat menunjukkan, selain peningkatan pengetahuan dan amalan pemakanan sihat, aktiviti fizikal harian murid turut meningkat, manakala ukur lilit pinggang dan lemak badan menurun. Kajian susulan menunjukkan kesan positif dapat dikekalkan lebih setahun selepas intervensi, termasuk penurunan berterusan dalam BMI untuk umur dan pembabitan aktif dalam aktiviti fizikal sekolah. Kejayaan ini didorong oleh sokongan guru dan ibu bapa.-UTUSAN










