Cklamovski terkejut spekulasi tinggalkan Malaysia

Cklamovski terkejut spekulasi tinggalkan Malaysia

DAKWAAN Peter Cklamovski akan meninggalkan Harimau Malaya selepas aksi berdepan Nepal pada Selasa ini hanya khabar angin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan fokus utamanya adalah kekal pada misi membawa skuad negara meraih tiga mata penuh menentang Nepal, walaupun dihujani khabar angin kononnya bakal meninggalkan pasukan selepas aksi malam ini.

Pengendali kelahiran Australia itu, mengakui terkejut dengan dakwaan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, namun tidak melihat ia sebagai gangguan terhadap persiapan pasukan untuk aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Ia agak mengejutkan saya, tetapi itulah bola sepak dan perkara seperti itu boleh berlaku. Apa yang paling penting bagi saya sekarang adalah mengenai hari ini (persiapan pasukan), kemudian memastikan kami melakukan yang betul esok dan mendapatkan tiga mata.

“Menamatkan tahun ini di kedudukan teratas dan terus memberikan keyakinan kepada negara mengenai pasukan yang sedang kami bentuk. Itu sahaja yang saya fikirkan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Terdahulu, timbul dakwaan bahawa pertembungan dengan Nepal bakal menjadi penampilan terakhir Cklamovski bersama skuad kebangsaan, namun sumber dalaman skuad Harimau Malaya tampil menafikan perkara itu kepada Utusan Malaysia.

Spekulasi tersebut hanya menambah bahang di luar padang selepas Harimau Malaya berdepan isu dokumentasi tujuh pemain warisan kebangsaan, sekali gus mencetuskan suasana tidak enak menjelang perlawanan penting.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini turut menyifatkan dakwaan mengenai masa depan Cklamovski hanyalah ‘spekulasi liar’, tetapi beliau enggan mengulas lanjut berhubung khabar angin itu.

“Tiada komen. Spekulasi liar? Saya pun anggap ia (spekulasi) liar sajalah,” kata Mohd Yusoff.

Cklamovski yang dilantik pada Disember lalu difahamkan memiliki kontrak dua tahun sehingga 2026, dan setakat ini berjaya memacu Harimau Malaya ke prestasi terbaik dalam Kumpulan F dengan rekod sempurna 12 mata hasil kemenangan ke atas Vietnam, Laos (dua kali) dan Nepal.

Jurulatih kelahiran Australia itu juga, dilihat bakal mencipta rekod 100 peratus sepanjang setahun buat Harimau Malaya dengan syarat menewaskan Nepal malam ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN