PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski perlu lebih rajin meninjau bakat baharu di Liga Malaysia (Liga M) untuk mencari pemain berkualiti untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, berkata, jurulatih kelahiran Australia itu tidak boleh bergantung kepada laporan pihak lain untuk menilai prestasi pemain Liga M yang kini mula menampakkan peningkatan.
“Ketua jurulatih (Cklamovski) kena turun padang tengok sendiri pemain-pemain ni. Jangan harap orang lain lapor siapa yang boleh main (untuk masuk pasukan kebangsaan),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Azlan, pengurusan skuad kebangsaan perlu memberi kepercayaan kepada pemain tempatan dan naturalisasi sedia ada untuk membawa cabaran negara dalam perlawanan akan datang.
“Kalau Selangor pilih Faisal Halim jadi kapten, maknanya mereka yakin dengan prestasi dia. Begitu juga pemain lain seperti Jimmy Raymond dari Kuching City. Beri peluang kepada pemain tempatan buktikan kemampuan mereka,” ujarnya.
Selain itu katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menjadikan isu tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai pengajaran besar dalam membina pasukan Harimau Malaya pada masa hadapan.
Katanya, apa yang berlaku mutakhir ini jelas menunjukkan kelemahan dalam proses pengurusan dan pemantauan pemain warisan, termasuk hal berkaitan latar belakang keluarga dan kelayakan pemain.
“Kalau perkara yang berlaku ini tidak menjadi pengajaran pahit kepada kita, mengapa perlu bersusah payah meneruskan dengan pemain-pemain warisan? Kita lihat sendiri, ada pemain yang keluarganya pun tidak berterus terang,” katanya.
Azlan menegaskan, kelemahan itu berpunca daripada kurangnya kepakaran dan pengurusan yang bergantung sepenuhnya kepada ejen, menyebabkan urusan menjadi rumit dan sukar dikawal.
Beliau berpendapat, Malaysia seharusnya menumpukan kepada pemain naturalisasi yang sudah layak beraksi sambil memperkukuh pembangunan pemain tempatan secara berperingkat.
“Kita pernah layak ke Piala Asia dengan menggunakan pemain naturalisasi. Jadi, kenapa kita nak terburu-buru? Yang penting, nama negara jangan tercemar. Kalau kalah pun, biarlah kalah dengan maruah,” tegasnya.










