TOKYO: Gandingan negara, Nor Misha Nathera Mackery dan Huwainaa Danduan Abdullah yang tidak diletakkan sebagai sandaran dalam acara boling beregu wanita menghadiahkan pingat perak buat Malaysia pada Sukan Deaflympics 2025, kelmarin.
Meskipun tewas 0-2 kepada pasangan Korea Selatan, Lee Chanmi-Heo Seonsil pada aksi final, gandingan negara itu wajar diberikan pujian kerana menampilkan aksi cemerlang untuk layak ke pentas akhir.
Menurut Nor Misha, pentas final di Higashiyamato Grand Bowl cukup mendebarkan apabila mereka bergelut mencari rentak dalam usaha mengekang balingan sempurna lawan.
“Sewaktu final bertemu Korea Selatan, ianya agak mendebarkan dan kami berusaha mencari rentak untuk merebut pingat emas.
“Kami akui Korea Selatan memang sangat kuat, namun kami sudah berikan yang terbaik dan bersyukur membawa pulang pingat perak untuk Malaysia,” katanya.
Pada aksi penentuan itu, Korea mengutip 203 jatuhan pin berbanding 175 yang diraih Malaysia dalam permainan pertama, manakala permainan kedua menyaksikan lawan terus unggul dengan 208 jatuhan pin berbanding 108.
Sementara itu, Huwainaa mengakui kejayaan mereka banyak disumbangkan hasil taktikal dan perancangan rapi ketua jurulatih negara, Joey Tay meskipun beraksi sebagai ‘underdog’.
“Pertama sekali saya ingin ucap terima kasih kepada jurulatih Joey yang mengajar kami dengan penuh taktikal, dan atas sebab itu kami berjaya meraih tempat kedua,” ujarnya.
Perak yang diraih beregu wanita itu menambah koleksi selepas Syabil Azam Syamsul Azam-Ho Choon Seong menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara beregu lelaki.
Setakat ini Malaysia meraih satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran) dalam misi memburu sasaran lebih cemerlang di Tokyo.-UTUSAN










