ROM: Legenda dan pengurus pasukan kebangsaan Itali, Gennaro Gattuso, mengingatkan Federico Chiesa bahawa ia adalah ‘masalahnya sendiri’ jika terus menolak panggilan ke skuad Azzurri dalam usaha merebut tiket ke Piala Dunia.
Bekas bintang Juventus itu tidak beraksi bersama Itali sejak Kejohanan Euro 2024, di mana mereka tersingkir pada pusingan 16 selepas tewas kepada Switzerland.
Chiesa, 28 tahun, merupakan tonggak penting ketika Itali memenangi Euro 2020 di bawah pengendalian Roberto Mancini, namun kini memilih untuk menolak panggilan terbaru pasukan kebangsaan.
Gattuso mendedahkan bahawa Chiesa mempunyai ‘masalah’ peribadi yang menyebabkan dia enggan menyertai pasukan.
“Saya sering menghubunginya sebelum setiap kem latihan antarabangsa dan kami sudah berbincang banyak kali.
“Ini bukan masalah Gattuso atau staf kejurulatihan, ini masalah dia sendiri,” katanya kepada Sky Italia.
Gattuso juga menegaskan dia menghormati keputusan pemain itu, namun menyifatkan situasi ini sebagai isu yang hanya boleh diselesaikan oleh Chiesa sendiri.
Itali kini terpaksa melalui play-off selepas tewas 4-1 kepada Norway dan menang 2-0 ke atas Moldova.
Mereka akan berdepan Ireland Utara sebelum berdepan pemenang antara Wales atau Bosnia dan Herzegovina. – AGENSI










