PETALING JAYA: Kejohanan Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 menutup tirainya dengan penuh bergaya selepas berlangsungnya Grand Finals di Templer Park Country Club (TPCC), Rawang, yang menghimpunkan barisan juara daripada 12 pusingan kelayakan di seluruh rantau Asia Tenggara.
Dalam aksi penuh sengit di TPCC, Ong Pok Wen muncul Juara Nett Keseluruhan selepas menamatkan saingan dengan konsistensi mengagumkan sekali gus mengulangi kejayaannya sebagai juara nett dalam pusingan kelayakan Templer Park yang diadakan pada 11 Julai lalu.
Turut cemerlang ialah Imran Marzuki yang menamatkan permainan dengan catatan skor 77 untuk dinobatkan sebagai Juara Gross.

Kemenangan itu melengkapkan musim gemilangnya selepas turut meraih gelaran Gross dalam pusingan terakhir di IOI Palm Villa Golf & Country Resort, Johor.
Memasuki edisi kesembilan, kejohanan anjuran Prestige Golf Sdn. Bhd. dengan kerjasama Bridgestone Golf itu terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara siri golf amatur paling berprestij di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Urusan Prestige Golf Sdn. Bhd., Vasudevan Krishnan berkata, kejohanan ini telah menyatukan para pemain golf yang berkongsi minat dan semangat kesukanan sejati.
“Dari Malaysia ke Singapura, Brunei, Vietnam dan India. Menjelang ulang tahun ke-10 tahun depan, kami berhasrat menjadikan Bridgestone ASEAN Amateur Open lebih besar dan lebih berimpak untuk komuniti golf serantau,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tourism Malaysia selaku penaja utama, serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Golf Malaysia (MGA) atas sokongan padu dalam memperkasakan pelancongan golf negara.
Majlis malam penutup Grand Finals turut bertepatan dengan ulang tahun ke-31 Prestige Golf Sdn. Bhd., yang diraikan bagi menghargai sumbangan syarikat tersebut terhadap pembangunan sukan golf di rantau ini.
Dengan kejayaan penganjuran musim 2025, Bridgestone ASEAN Amateur Open kini bersiap sedia melakar satu lagi detik bersejarah pada tahun hadapan apabila edisi 2026 bakal menandakan ulang tahun ke-10 kejohanan itu. – UTUSAN










