PETALING JAYA: Perniagaan Cucishoes kini muncul sebagai fenomena baharu industri kasut apabila berkembang kepada lapan cawangan aktif di Lembah Klang dan Kedah selepas idea ringkas hanya untuk membantu pemilik menjaga kebersihan dan jangka hayat kasut.
Konsep cucian kasut yang dianggap sebagai ‘low hanging fruit’ itu membuktikan perniagaan kecil berasaskan keperluan harian mampu menjana peluang pendapatan besar seiring pertumbuhan ekonomi gig dan mikro.

Diasaskan oleh Fakhruddin Md. Noor, jenama itu kini beroperasi di Tasik Puteri Golf & Country Club, Rawang; Uniputra Golf Club UPM, Serdang; Danau Golf Club UKM, Bangi; Seri Selangor Golf Club, Kota Damansara; Kota Seriemas Golf & Country Club, Nilai; Bandar Darulaman Golf & Country Club, Jitra; Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya serta Kinrara Golf Club, Puchong.
Keunikan Cucishoes terletak pada perkhidmatan premium dengan harga mampu milik termasuk tawaran cucian asas serendah RM20 dan tempoh siap sekitar 20 minit, sekali gus menjadikannya antara servis paling pantas di Malaysia.
Menurut Fakhruddin, permintaan terhadap perkhidmatan itu meningkat ketara dalam komuniti golf, institusi pendidikan dan golongan profesional yang semakin menitikberatkan kebersihan serta imej diri.

“Ramai tidak sedar cuci kasut adalah industri yang boleh menjana pendapatan lumayan. Ia idea mudah, modal rendah tetapi permintaannya sangat tinggi.
“Apa yang kami lakukan hanyalah menstrukturkan servis ini supaya lebih cepat, bersih, profesional dan konsisten,” katanya.
Beliau berkata, selain membuka cawangan baharu, Cucishoes turut menerima permintaan daripada anak muda yang berminat menjadikan kerja mencuci kasut sebagai kerjaya sampingan.
Katanya, model latihan, lesen dan sistem operasi sedang dibangunkan bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kecil di seluruh negara.
“Perniagaan mikro seperti cucian kasut memberi ruang kepada belia membina pendapatan sendiri tanpa memerlukan modal besar atau kemahiran teknikal rumit.
“Visi kami bukan sekadar membuka kedai. Kami mahu menjadikan industri cuci kasut satu kerjaya baharu yang dihormati, teratur dan bernilai ekonomi kepada masyarakat.
“Dengan reputasi yang semakin kukuh dalam komuniti golf dan kawasan tumpuan ramai, Cucishoes merancang membuka lebih banyak cawangan tahun ini termasuk di pusat membeli-belah dan universiti,” katanya. – UTUSAN










