PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan diaibkan dengan kekalahan 9-1 kepada Belgium dalam aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah hari ini.
Kekalahan besar itu bukan sahaja mengundang kekecewaan malah memperlihatkan perbezaan ketara antara Malaysia yang berada di kedudukan ke-12 dengan Belgium, pasukan ketiga terbaik dunia.
Malaysia ketinggalan 3-1 pada suku pertama selepas ketiga-tiga gol Belgium dijaringkan Tom Boon seawal minit kelapan, Thomas Crols minit ke-11 dan Thibeau Stockbroekx minit ke-15. Gol tuan rumah dijaringkan Faizal Saari pada minit ke-13.
Belgium yang dibimbing Shane McLeod memperoleh gol keempat pada minit ke-24 menerusi gol padang Roman Duvekot sebelum Alexander Hendrickx meledak jaringan kelima tiga minit kemudian hasil penalti shoot-out.
Gol keenam Belgium dijaringka Tommy Willems pada minit ke-30 sebelum Boon menjaringkan gol kedua peribadinya lapan minit kemudian.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu terus merobek gawang Speedy Tigers menerusi jaringan Victor Foubert pada minit ke-41 sebelum Duvekot meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-54.
Sebelum itu, dua perlawanan turut berlangsung pada hari ini menyaksikan Kanada menewaskan Korea Selatan 3-2 manakala India menundukkan New Zealand 3-2.
Selepas ini, Malaysia dijadual menentang Korea Selatan manakala Belgium bertemu New Zealand dan Kanada berjumpa India dengan kesemua aksi tersebut pada Sabtu ini. – UTUSAN










