Atlet negara naik bas ke Sukan SEA Thailand

Atlet negara naik bas ke Sukan SEA Thailand

ATLET karate anta yang akan bertolak ke Sonkhla dengan menaiki bas untuk menyertai Sukan SEA Thailand 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan atlet negara yang berpangkalan di Songkhla pada Sukan SEA Thailand Disember ini akan menggunakan jalan darat berikutan jarak perjalanan yang lebih dekat dari sempadan.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, kesemua atlet yang terlibat akan bergerak secara berperingkat dan bertolak tiga hari lebih awal sebelum bertanding.

Katanya lagi, beberapa siri perbincangan dengan pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), konsulat negara di Songkhla dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah diadakan bagi melancarkan perjalanan atlet.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah masa perjalanan dan keperluan untuk tempoh rehat yang lebih panjang. Jadi, bagi Songkhla, memandangkan ia dekat dengan sempadan, kami telah mengadakan perbincangan dengan konsulat di Thailand, UUM dan juga imigresen untuk memudahkan proses tersebut.

“Mereka akan bermalam satu malam di UUM sebelum bergerak ke Songkhla dalam keadaan yang lebih segar berbanding laluan biasa yang mungkin mengambil masa lebih lama.

“Itulah sebabnya kami menggunakan perjalanan darat hanya untuk Songkhla. Perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam dari sini (Kuala Lumpur) dan dari sempadan, ia kira-kira satu jam setengah,” katanya.

Keputusan tersebut akan melibatkan atlet dan pegawai daripada sukan catur, judo, karate, muay thai, pencak silat, gusti, wushu, bola sepak dan futsal. Selain Songkhla, Bangkok dan Chonburi juga menjadi venue pertandingan bagi temasya tersebut.

Jefri ditemui pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Penajaan (MoA) antara MSN dan syarikat barangan sukan tempatan, Corporate Hero Century Sdn Bhd (Pace) di Bukit Jalil. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Hannah berkata, sasaran pingat pada temasya itu kekal dibuat tanpa sasaran warna bagi mengelak tekanan kepada atlet selepas mendapatkan kementeriannya khidmat nasihat daripada pakar dari Nippon Sports Science University (NSSU) di Jepun.

“Kami menggunakan formula ini ketika Sukan Asia 2022 di Hangzhou dan ia diterima baik oleh semua atlet yang bertanding kerana sebelum ini, mereka merasakan hanya mereka yang membawa pulang pingat emas diraikan oleh kerajaan.

“Namun, dengan sasaran pingat keseluruhan, atlet yang membawa pulang pingat gangsa juga merasakan mereka adalah penyumbang kepada usaha pasukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN