PETALING JAYA: Pengendali Sabah FC, Jean Paul de Marigny gembira dengan prestasi yang dipamerkan Jafri Firdaus Chew selepas penyerang itu menjadi pencetus kemenangan 3-2 ke atas Penang FC di Stadium Likas, kelmarin.
Pemain berusia 28 tahun itu menghasilkan gol menarik menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti dan jaringan berkenaan membangkitkan semangat The Rhinos hingga memperoleh tiga mata berharga di laman sendiri.
“Kami boleh mendapatkan sesuatu yang lebih daripada Jafri dan kita tahu dalam perlawanan ini dia ada sesuatu yang ingin dibuktikan, malah kami tahu dia mampu menjaringkan gol atau cipta bantuan jaringan.
“Dia pemain berkualiti dan saya cukup gembira apabila dia mampu menjaringkan gol hebat seperti itu. Ketika itu, saya tidak mahu dia melakukan rembatan, namun percubaannya menghasilkan gol, jadi saya anggap (jangkaan) saya tidak sentiasa tepat,” kata Marigny.
Selain Jafri, Ajdin Mujagic dan Daniel Ting turut menghasilkan jaringn buat tuan rumah, sekali gus menafikan kelebihan dua gol Penang FC yang terhasil daripada Dylan Wenzel Halls.
Marigny juga menjelaskan fokus utamanya adalah tidak terlalu memikirkan tentang kedudukan dalam carta Liga Super sebaliknya mahu memastikan The Rhinos tampil lebih baik dalam setiap perlawanan.
“Saya sudah katakan banyak kali, kedudukan dalam liga tidak begitu penting tetapi keutamaan adalah bermain dengan baik mengikut cara kami sendiri. Di babak pertama kami melepaskan gol mudah khususnya jaringan pertama.
“Di babak kedua, kami menunjukkan mentaliti yang sebenar hingga memperoleh kemenangan. Kami sememangnya berhak raih kejayaan ini dan sudah pasti saya bangga dengan pemain saya,” katanya
Sementara itu, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kegagalan anak buahnya ‘mematikan’ perjuangan pasukan tuan rumah turut menjadi faktor kepada kekalahan skuad kendaliannya.
“Kami membazirkan peluang untuk meraih kemenangan dimana gol yang kami lepaskan adalah kerana kelekaan sendiri dan ia sering berlaku. Daripada segi serangan dan penyudah ada peningkatan, cuma di belakang pula kami dihukum.
“Masalahnya adalah bagaimana untuk mematikan perlawanan ini dan pemain kena lebih tajam lagi. Tiada cara lain, kami kena perbaiki kelemahan dan pemain harus bangkit,” katanya.
Bintang import, Dylan Wenzel Halls dua kali memberikan kelebihan buat Penang FC tetapi kesilapan sendiri terus membayangi kelab dari utara itu hingga merekodkan kekalahan keempat dalam lima perlawanan terakhir.-UTUSAN










