PM ikuti perkembangan banjir dari Kenya

PM ikuti perkembangan banjir dari Kenya

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikuti rapat perkembangan musibah banjir membabitkan tujuh negeri yang kini telah menjejaskan lebih 15,000 mangsa.

Anwar berkata, meski pun ketika ini berada jauh di Kenya namun beliau sentiasa memantau perkembangan banjir yang semakin memburuk di negara.

“Menurut laporan yang diterima, Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di tujuh negeri.

“Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah.

“Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan,” katanya.

Tambahnya, beliau turut mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi dari sebarang kemudaratan.

“Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN