Ahli gabungan FAM hilang taring?

Ahli gabungan FAM hilang taring?

WISMA FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ‘membisu’ tentang isu-isu besar yang melanda badan induk itu kini menimbulkan persoalan.

Bermula dengan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melepaskan jawatan sehinggalah dihukum oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), tiada ahli gabungan yang bersuara.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, ahli gabungan sepatutnya perlu bersuara bagi mengetahui situasi sebenar yang melanda badan induk bola sepak negara.

Katanya, FAM ketika ini berdepan kemelut kepimpinan dan krisis keyakinan yang serius dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

“Saya dah cakap sebelum ini ,mana suara ahli-ahli gabungan? Dalam isu presiden letak jawatan, dalam isu hukuman oleh FIFA, dalam isu rayuan yang gagal semuanya senyap.

“Dulu ahli gabungan FAM antara yang paling lantang bersuara, tapi sekarang seolah-olah semuanya hanya tahu angguk-angguk saja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Pekan, keadaan itu memperlihatkan seolah-olah ahli gabungan telah ‘hilang taring’ atau mungkin ‘takut bersuara’, hingga peminat dan penyokong pula yang terpaksa berbahas.

“Ahli gabungan ada hak, tapi bukan hak berdiam diri. Mereka sepatutnya membawa suara peminat dan pemegang taruh bola sepak tempatan, bukan sekadar mengikut arus,” tegasnya.

Mengulas keperluan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) segera, beliau berpandangan ia boleh dilakukan jika ada usul khas daripada ahli gabungan selaras dengan perlembagaan dan peraturan sukan.

“Boleh saja adakan mesyuarat khas untuk pemilihan baharu. Tapi jangan pula dibuat hanya sekadar ‘endorsement’ atau untuk mengesahkan keputusan yang sudah dirancang.Kalau pemilihan tidak telus, FAM tidak akan ke mana-mana,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan keperluan ‘reset’ FAM secara menyeluruh, dengan memilih kepimpinan baharu yang benar-benar berani, telus serta berkarisma untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi bola sepak negara.

“Kita perlukan pemimpin yang berani, ada kredibiliti dan mampu tetapkan hala tuju baharu. Kalau tidak, status quo akan kekal dan masalah yang sama akan berulang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN