LAS VEGAS: Adrian Newey telah dilantik sebagai ketua pasukan Formula Satu (F1) Aston Martin untuk musim 2026 dalam satu langkah mengejutkan.
Selepas Grand Prix (GP) Las Vegas, terdapat laporan mendakwa bahawa Aston Martin bakal menggantikan Andy Cowell. Christian Horner, Andreas Seidl dan Mattia Binotto turut dikaitkan dengan jawatan Cowell.
Namun, menjelang perlumbaan hujung minggu ini di Qatar, pasukan tersebut telah mengumumkan bahawa Newey akan mengambil alih peranan ketua pasukan bermula musim depan.
Cowell akan memegang jawatan sebagai ketua pegawai strategi bagi memastikan Aston Martin dapat mengoptimumkan kerjasama teknikal antara pasukan, Honda, Aramco dan Valvoline.
“Sepanjang sembilan bulan yang lalu, saya telah melihat bakat individu yang hebat dalam pasukan kami. Saya menantikan untuk mengambil peranan tambahan ini ketika kami meletakkan diri dalam posisi terbaik untuk bersaing pada 2026.
“Setelah melaksanakan perubahan struktur yang sangat diperlukan ketika kami beralih kepada pasukan penuh dan meletakkan asas untuk Adrian dan organisasi yang lebih luas, kini masa yang sesuai bagi saya untuk mengambil peranan berbeza sebagai ketua pegawai strategi.
“Dalam peranan ini, saya akan membantu mengoptimumkan kerjasama teknikal antara pasukan, Honda, Aramco dan Valvoline serta memastikan penyepaduan lancar bahan api dan casis baharu pasukan,” kata Newey. – AGENSI










