KUALA LUMPUR: Perebutan gelaran beregu lelaki pada Jelajah Dunia Akhir (WTF) dijangka sengit dengan fokus tidak hanya bertumpu kepada satu beregu sahaja.
Perkara itu diakui oleh pemain beregu negara, Aaron Chia yang menyifatkan saingan dalam acara itu sangat terbuka dengan regu yang konsisten bakal bergelar juara.
Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik berkata, fokus mereka ialah untuk melepasi peringkat kumpulan yang masih belum mampu direalisasikan sehingga kini.
“Kalau cakap karier badminton memang WTF kita kena lepasi dulu, sebab kita sentiasa kalah dekat peringkat kumpulan, langkah demi langkah, gelaran fikir kemudian,” katanya.
Menurut Aaron, dia dan Wooi Yik perlu memastikan sekurang-kurangnya mara ke suku atau separuh akhir pada Jelajah Eropah yang bermula minggu ini untuk layak ke WTF.
Mengulas mengenai persaingan, Aaron mengakui kekuatan beregu lelaki seimbang dan sangat kompetitif, malah, sukar untuk membuat ramalan siapa yang akan merangkul gelaran dalam setiap kejohanan.
“Walaupun sekarang kita nampak Kim Won Ho-Seo Seung Jae lebih konsisten, tapi sebenarnya mereka punya gandingan masih baru dan corak permainan beregu Korea ini belum dapat dibaca lawan lagi.
“Selain Kim-Seo, kita kena awasi juga beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang kembali berada pada prestasi terbaik, Fajar-Fikri dari Indonesia dan juga beregu Jepun, Hoki-Kobayashi, pasangan China serta Taiwan,” katanya.
Ketika ditanya rasa gerun peminat terhadap Won Ho-Seung Jae yang merupakan gandingan No. 1 dunia, kata Aaron, untuk berdepan pasangan handalan Korea Selatan itu, percaturan taktikal serta strategi sangat penting dan jangan buat kesilapan kerana jika soal fizikal ataupun tahap kecergasan, semua beregu berada di tahap sama.
“Bagi saya Kim-Seo masih ada kelemahan, kita cuma kena cari kekurangan itu, kena kaji permainan mereka macam mana hendak lawan dengan beregu ini.
“Macam Rankireddy-Shetty pula, standard mereka memang ada dekat sana, cuma selepas Olimpik beregu ini cedera dan bergelut untuk dapatkan rentak, tetapi, sekarang prestasi itu sudah dapat balik, bagi saya mereka antara tiga beregu terbaik dunia,” katanya.
Bercakap pula tentang kerjasamanya dengan Wooi Yik, jelas Aaron, selepas sekian lama bergandingan, dia tidak pernah terfikir untuk bertukar pasangan dan soal turun, naik prestasi, masalah itu masih boleh diatasi bagi mencari kembali rentak yang lebih konsisten.
Mengenai Jelajah Eropah pula, Aaron berkata, dia dan Wooi Yik mendaftarkan nama untuk menyertai semua empat kejohanan di benua itu bermula di Terbuka Arctic, Finland, minggu ini.-UTUSAN