BAHAMAS: Legenda golf dunia, Tiger Woods telah menjalani pembedahan penggantian cakera lumbar bagi menangani masalah belakang yang serius.
Juara utama 15 kali itu berkata, prosedur yang dijalankan pada Jumaat lalu berjalan dengan baik selepas beliau menanggung kesakitan berbulan-bulan serta menghadapi kekangan pergerakan.
“Selepas mengalami kesakitan dan kekurangan pergerakan di bahagian belakang, saya berunding dengan doktor dan pakar bedah untuk menjalani ujian.
“Saya memilih untuk menukar cakera saya semalam, dan saya tahu saya telah membuat keputusan yang betul demi kesihatan dan masa depan saya,” kata Woods dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 49 tahun itu tidak beraksi sejak terlepas pemotongan di Terbuka British pada Julai lalu.
Sebelum ini, Woods juga menjalani pembedahan membaiki tendon Achilles kiri pada Mac, selepas melalui kecederaan serius akibat kemalangan kereta pada 2021.
Sebagai tuan rumah kejohanan, Woods turut tidak tersenarai dalam senarai awal pemain bagi Cabaran Dunia Hero yang akan berlangsung di Albany, Bahamas dari 4 hingga 7 Disember ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya di arena kompetitif.
Walaupun terus berdepan cabaran kecederaan, peminat setia masih berharap bintang besar itu mampu membuat satu lagi kebangkitan dalam karier gemilangnya. AGENSI