KUALA NERUS: Pertahanan Terengganu FC (TFC), Ubaidullah Shamsul bertekad memanfaatkan sepenuhnya peluang selepas sekali lagi dipanggil menyertai kem latihan pusat menjelang dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.
Ia adalah kali ketiga pemain berusia 22 tahun itu dipanggil ke skuad kebangsaan dengan diberikan peluang bermain penuh ketika menentang Cape Verde, Mei lalu.
Ubaidullah berkata, setiap panggilan ke skuad kebangsaan bukan sahaja satu penghormatan malah menjadi peluang besar untuk menimba pengalaman bersama barisan pemain terbaik negara.
“Harapan saya sudah tentu hendak dapat tempat dalam kesebelasan utama tetapi yang paling penting saya dapat belajar banyak benda dan bersaing dengan pemain-pemain hebat di posisi pertahanan,” katanya ketika dihubungi.
Ubaidullah mengakui persaingan kali ini cukup sengit memandangkan lebih ramai pemain pertahanan dipanggil ke kem latihan termasuk beberapa pertahanan berpengalaman.
“Kalau kita kerja keras, peluang tu memang ada. Bila peluang datang, insyaAllah saya cuba tunjuk kemampuan sebaik mungkin,” ujar pemain kelahiran Kota Bharu itu.
Katanya, aspek taktikal juga dilihat memainkan peranan penting dalam penilaian jurulatih.
Pada masa sama, Ubaidullah turut menegaskan skuad negara perlu tampil lebih konsisten jika mahu terus bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Saya dan Daniel Ting antara pemain di posisi pertahanan kiri tapi pemain lain juga boleh beraksi di posisi sama. Jadi peluang itu memang ada dan persaingan tetap terbuka.
“Untuk jadi pasukan terbaik, kita kena menang semua perlawanan, bukan hanya lawan pasukan bawah. Fokus utama sekarang ialah layak ke peringkat seterusnya di Asia,” ujarnya.
Ubaidullah turut menzahirkan rasa syukur atas peluang ketiga yang diberikan serta berjanji untuk terus berusaha keras.
“Masih jauh perjalanan saya. Banyak benda boleh berlaku, jadi saya akan terus kerja keras dan bersaing dengan yang terbaik,” katanya.-UTUSAN