LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot menegaskan tiada sebab untuk dirinya panik selepas pasukannya kalah tiga kali berturut-turut sejak dia mengambil alih pasukan itu.
Semalam, The Reds tumpas 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge menerusi jaringan saat-saat akhir menerusi pemain muda Brazil, Estevao Willian, pada minit ke-95.
Kekalahan itu juga menyaksikan Liverpool sekali lagi dikecewakan pada penghujung perlawanan selepas tewas 2-1 kepada Crystal Palace minggu lalu menerusi jaringan minit ke-97.
Mereka turut tumbang 1-0 kepada Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, menjadikan ini kali pertama sejak April 2023, Liverpool mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
Slot enggan menyalahkan sistem taktikal atau mental pemain, sebaliknya menganggap keputusan itu berpunca daripada “nasib” dan kesan daripada pra-musim yang mencabar.
“Kalau keputusan hari ini seri atau menang, kedua-duanya sebenarnya boleh berlaku, walaupun saya tak kata kami layak menang, ia tetap permulaan yang baik jika mengambil kira semua yang berlaku sepanjang musim panas di Liverpool,” kata Slot.
Dalam aksi itu, The Reds mempamerkan aksi tidak konsisten khususnya di separuh masa pertama, biarpun dua pemain utama yang dibeli musim ini berada dalam kesebelasan utama.
Di bahagian serangan, penyerang baharu Alexander Isak masih mencari rentak selepas pramusim yang terganggu, manakala Mohamed Salah sekali lagi gagal menyerlah.
Salah kini hanya menjaringkan lima gol dalam 21 perlawanan terakhirnya bersama Liverpool, penurunan mendadak berbanding prestasi cemerlang musim lalu.
“Hari ini (kelmarin) dia (Salah) ada banyak peluang untuk melakukan apa yang biasa dia buat, tapi dia juga manusia. Bukan setiap peluang akan menjadi gol.
“Mungkin kita terlalu menilai berdasarkan pencapaiannya musim lalu, tapi kadang-kadang pemain seperti dia pun boleh melalui perlawanan tanpa jaringan atau bantuan gol,” kata Slot.-AGENSI