Teha bangkit dari kecederaan

Teha bangkit dari kecederaan

MOHD Faiz Musa (kanan) memantau latihan Nur Fatihah Irwanis Muhammad Faisul dalam persediaan menghadapi SUKMA 2026. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLET angkat berat Perlis, Nur Fatihah Irwanis Muhammad Faisul, 18, pernah berehat selama setahun selepas patah kaki akibat kemalangan motosikal dua tahun lalu.

Bagaimanapun, remaja tersebut tidak pernah berputus asa untuk bangkit daripada kecederaan berkenaan seterusnya mengapai cita-cita menjadi jaguh angkat berat.

Sepanjang proses pemulihan, Nur Fatihah atau lebih mesra disapa sebagai Teha terpaksa menangguhkan latihan dan melupakan hasrat bagi menyertai beberapa kejohanan sebelum ini.

Dalam tempoh itu, dia juga hanya menumpukan kepada latihan ringan dan lebih memberi fokus kepada proses pemulihan kecederaan yang dialaminya itu.

Selepas setahun, anak bongsu dari tiga beradik ini membuat kemunculan semula dengan turut mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan angkat berat.

NUR Fatihah Irwanis Muhammad Faisul menjalani latihan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Antara pencapaian cemerlangnya adalah memenangi tiga pingat emas kategori bawah 53 kilogram (kg) dalam Kejohanan Max Out 2025 di Bandung, Indonesia baru-baru ini dengan membuat angkatan keseluruhan seberat 155 kilogram (kg).

Selain itu, Nur Fatihah turut aktif menyertai beberapa siri kejohanan angkat berat lain dianjurkan antaranya seperti Kejohanan Bakat Grand Final Inter Zone 2024.

Nur Fatihah juga menjadi antara prospek pingat buat Perlis dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026 biar pun temasya berkenaan merupakan penampilan pertamanya.

Nur Fatihah berkata, perjalanannya dalam angkat berat sememangnya penuh berliku, namun dia sentiasa berfikiran positif dan cuba untuk bangkit semula dengan berbekalkan tekad yang tinggi.

“Memang kalau diikutkan kadang-kala saya juga pernah rasa macam nak putus asa namun saya beranggapan ini adalah ujian untuk bangkit dengan semangat lebih tinggi.

“Saya cuba ambil positif atas semua yang berlaku dan mula untuk bangkit semula dengan bimbingan jurulatih, Mohd Faiz Musa serta sokongan keluarga,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pelajar Kolej Vokasional Kangar itu berkata, buat masa ini, angkatan terbaik pernah direkodkannya bagi kategori snatch adalah seberat 72 kg manakala kategori clean and jerk pula seberat 85.90 kg.

Menurutnya, dia juga kini giat melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Sukma 2026 dengan misi bagi membawa pulang pingat buat Perlis dalam temasya itu.

“Persiapan Sukma 2026 nanti memang ada sedikit perasaan gerun sebab saya tak tahu lagi lawan nanti macam mana, tambahan pula ini penampilan pertama saya.

“Jadi fokus saya sekarang untuk bersiap sedia apa disamping menyertai beberapa kejohanan dianjurkan sebagai rangka persediaan untuk saingan nanti,” katanya.Menceritakan pembabitan awalnya dalam sukan angkat berat, dia menceburi bidang itu secara serius semasa berusia 15 tahun selepas mendapat sokongan penuh daripada ibunya, Asni Tabri, 47, dan bapanya, Muhammad Faisul Ahmad Shafir, 49.

Katanya, dia juga tidak kisah dengan pandangan segelintir pihak yang skeptikal dengan pembabitan kaum wanita dalam sukan angkat berat itu yang dianggap lasak.

“Mungkin sebilangan pihak beranggapan sukan angkat berat ini lasak, tak bagus untuk wanita dan pelbagai lagi pandangan lain yang dilontarkan oleh mereka.

“Namun bagi saya, sukan ini sebenarnya memerlukan teknik yang betul dalam permainannya untuk menggelakkan sebarang risiko,” katanya.

Ditanya mengenai pembahagian antara sukan dan pelajaran, Nur Fatihah yang merupakan pelajar bidang Sains Komputer berkata, dia terpaksa berkorban bagi mengimbangi dua bidang itu dengan sebaiknya demi kepentingan masa depannya.

NUR Fatihah Irwanis Muhammad Faisul membuat angkatan dengan penuh fokus di pusat latihannya di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.

Tambahnya, dia turut meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan semester dua sebelum ini dengan keputusan 8A.

“Rutin saya setiap hari adalah pergi kelas bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dan kemudian saya akan terus jalani latihan bersama jurulatih sehingga 8.30 malam.

“Selepas itu, saya akan sambung latihan sendiri untuk endurance dan strength sehingga pukul 11 malam bagi menguatkan lagi ketahanan selepas dibelenggu kecederaan kemalangan sebelum ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN