Tang Jie-Ee Wei enggan jadikan cedera sebagai alasan

Tang Jie-Ee Wei enggan jadikan cedera sebagai alasan

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir di suku akhir Terbuka Perancis, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei enggan menjadikan faktor kecederaan sebagai alasan selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Perancis kelmarin, sebaliknya menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran berharga buat mereka.

Menurut Ee Wei, setiap pemain sudah pasti mahu beraksi pada tahap kecergasan terbaik, namun ada ketika situasi tidak dapat dielak, sekali gus peranan rakan gandingan menjadi penentu hala tuju permainan.

Katanya, pengalaman di Perancis itu membuka mata mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan mempersiapkan diri jika berdepan keadaan sama pada kejohanan akan datang.

“Ini kali pertama kami berdepan situasi kecederaan yang menjejaskan rentak permainan sendiri. Jadi kami akan ambilnya sebagai pembelajaran dan memperbaiki segala aspek untuk tampil lebih baik selepas ini,” kata Ee Wei.

Tambahnya, mereka sepakat untuk meneruskan perlawanan biarpun Tang Jie tidak berada pada tahap kecergasan sepenuhnya kerana percaya masih mampu memberikan saingan kepada lawan.

“Kadang-kadang saya juga pernah cedera dan Tang Jie tetap melindungi saya. Jadi kali ini, kami pula memilih untuk terus bermain. Bila sudah buat keputusan itu, tiada ruang untuk alasan. Kami hanya mahu berjuang dan berikan yang terbaik bagi setiap mata,” ujarnya.

Sementara itu, Tang Jie mengakui kecederaan pada tangan benar-benar membataskan pergerakan serta corak permainannya sekali gus menjejaskan keupayaan mereka untuk memberi tentangan lebih sengit.

“Saya memang tidak berada pada tahap cergas sepenuhnya, malah sebelum masuk gelanggang pun saya tahu tangan saya sukar bertahan. Tapi bila sudah pilih untuk bermain, saya terima apa saja yang berlaku. Tiada alasan,” kata Tang Jie.

Terdahulu, pasangan ranking ketiga dunia itu terpaksa akur apabila tewas kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 9-21, 18-21 dalam masa 37 minit untuk menamatkan kempen mereka di kelompok lapan terbaik.

Juara dunia itu dijangka akan terbang ke Jerman bagi mengaturkan pertemuan menentang pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan pada aksi pusingan pertama Terbuka Hylo, Selasa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN