PETALING JAYA: Selangor FC tetap mara ke separuh akhir Piala FA biarpun tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FAbdi Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Skuad kendalian Christophe Gamel mara dengan agregat 6-3, hasil bekalan selesa empat gol dalam pertemuan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dalam aksi di Stadium MBPJ itu, Negeri Sembilan yang turun dengan misi mencipta kejutan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi pertahanan Muhammad Harith Samsuri.
Skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil menambah jaringan menerusi N. Javabilaarivin pada minit ke-27 selepas menanduk masuk hantaran Joseph Esso.
Tersentak dengan dua jaringan awal itu, Selangor memperkemas rentak permainan dan berjaya merapatkan jurang apabila Willian Lira Sousa meledak gol penting menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-42.
Kedudukan 1-2 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan dan bersambung babak dua, Selangor memperkemaskan rntak rainan untuk mengimbani kebangkitan Negeri Sembilan.
Kemasukan Faisal Halim memberi sanat baharu buat Gergasi Merah, namun Negeri Sembilan terus mencuri tumpuan apabila menambah gol ketiga menerusi pemain gantian Mio Tsuneyasu pada minit ke-81.

Namun, Faisal menghadiahkan gol kedua pasukannya pada minit ke-87 selepas menerima hantaran Omid Musawi, sekali gus meredakan tekanan penyokong tuan rumah.
Pelawat hampir menambah jaringan di hujung permainan menerusi percubaan Muhammad Hadin Azman, namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ke-88.
Keputusan 2-3 kekal hingga tamat, namun kelebihan agregat 6-3 sudah cukup untuk Selangor ke separuh akhir berdepan Sabah FC, yang turut mara selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) dengan agregat 5-2.-UTUSAN










