Selangor belum boleh ‘lena’

Selangor belum boleh ‘lena’

PEMAIN Penyerang Negeri Sembilan FC, diasak pemain Selangor FC, ketika beraksi Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, kelmarin-GAMBAR : MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA, Selangor FC (SFC) diingatkan supaya tidak leka dan perlu mengekalkan kualiti permainan ketika berdepan jadual padat minggu ini.

Sebelum turun menentang Negeri Sembilan dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 29 Oktober ini, skuad The Red Giants terlebih dahulu perlu melunaskan dua tugasan penting.

Ketua jurulatih sementara, Christophe Gamel bakal berdepan wakil Indonesia, Persib Bandung dalam saingan Liga Juara-Juara 2 (ACL2), sebelum mengharungi aksi derbi Lembah Klang menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Selepas menunjukkan perubahan positif dalam corak permainan sejak mengambil alih tampuk kejurulatihan, Gamel kini dituntut untuk mengekalkan momentum tersebut agar rentak kemenangan Selangor tidak terganggu menjelang aksi penting minggu depan.

Kelebihan empat gol yang diraih dalam perlawanan pertama memberi laluan cerah buat Selangor untuk mara ke separuh akhir, sekali gus mampu meningkatkan peluang Gamel kekal sebagai pengendali pasukan hingga tamat musim ini.

Kapten Selangor, Faisal Halim menegaskan bahawa perjuangan mereka masih belum selesai dan mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah mana-mana perlawanan selepas ini.

“Kita belum berjaya lagi. Masih ada satu perlawanan untuk diharungi. Saya harap semua pemain kekal fokus dan berikan yang terbaik,” katanya.

Dalam aksi lain, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sekadar menang tipis 2-1 ke atas Penang FC pada aksi pertama, masih dianggap pilihan utama untuk mara memandangkan mereka akan beraksi di laman sendiri pada perlawanan kedua.

Sementara itu, Kuching City FC yang mencipta kejutan besar musim ini turut dilabel sebagai pilihan untuk layak selepas menundukkan Terengganu FC 4-1 di tempat lawan.

Saingan antara Kelantan The Real Warriors dan Sabah FC dijangka sengit meskipun The Rhinos menang 2-1 pada aksi pertama dan kedua-dua pasukan masih memiliki peluang seimbang untuk melangkah ke kelompok empat terbaik Piala FA musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN