Rumah impian Rashford tergendala lima tahun

Rumah impian Rashford tergendala lima tahun

MARCUS Rashford kini beraksi bersmam Barcelona di La Liga. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Impian Marcus Rashford untuk memiliki kediaman idaman bertukar mimpi ngeri apabila projek pembinaan rumah mewahnya tertangguh hampir lima tahun dan kini berdepan kos tambahan mencecah 15 juta pound (RM84.5 juta).

Bintang England itu kini sedang mencari punca mengapa projek yang dibina di bekas padang golf dan rumah kelab yang dibelinya pada 2020 dengan harga 2.25 juta pound (RM12.6 juta) masih belum siap hingga kini.

Tapak seluas 25.4 hektar itu dibiarkan terbiar dan dipenuhi semak-samun selepas kerja pembinaan dihentikan, dipercayai kerana pertikaian kewangan.

Penyerang Manchester United yang kini dipinjamkan ke Barcelona itu telah mengarahkan pasukan kewangannya untuk menyiasat apa yang berlaku dan bila projek itu akan disiapkan.

“Rashford sudah membelanjakan berjuta-juta pound setakat ini, namun kini terpaksa menanggung lebih banyak lagi.

“Terdapat pertikaian pada musim panas lalu. Kerja pembinaan baru-baru ini disambung semula, tetapi kemajuannya amat perlahan. Semua berpunca daripada isu kewangan.

“Rashford bimbang rumah itu akhirnya tidak akan bernilai seperti jumlah yang sudah dibelanjakannya.Tetapi dia tidak boleh hentikan kerja begitu saja. Dia hanya mahu rumah itu siap sepenuhnya,” menurut sumber terdekat pemain itu.

Terdahulu, Rashford merancang untuk menjadikan bekas kelab golf dan rumah kelab itu sebagai kediaman tetapnya di kawasan desa Cheshire.

Pelan asal membabitkan perobohan bangunan lama untuk digantikan dengan vila lima bilik tidur lengkap dengan kolam renang tertutup, gimnasium, bilik permainan serta ruang santai.

Turut dirancang adalah sebuah pangsapuri berasingan di kawasan sama, taman landskap, serta pelan penjagaan alam sekitar untuk kelawar, burung, landak dan spesies newt yang terdapat di kawasan hijau berkenaan.

Projek itu berdepan pelbagai masalah termasuk banjir serta kenaikan mendadak kos pembinaan selepas pelan asal diubah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN