GEORGE TOWN : Pulau Pinang berjaya melepasi ujian awal Piala Emas Raja-Raja 2025 apabila menjuarai saingan peringkat kumpulan selepas terikat tanpa jaringan dengan Melaka di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.
Biarpun seri, juara edisi 2017 itu berjaya mengumpul tujuh mata secara keseluruhannya selepas memenangi dua perlawanan awal iaitu membelasah Perlis 6-0 dan menang tipis ke atas Pahang, 2-1 dalam Kumpulan A.
Menanti skuad Pulau Mutiara pada aksi suku akhir nanti ialah finalis musim lalu iaitu Bomba FC yang menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan B di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, kejayaan mara ke suku akhir itu sekali gus memperbaiki pencapaian pasukan itu musim lalu apabila terkandas di peringkat kumpulan.
Walaupun belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya setakat ini, beliau optimis dengan kemampuan mereka apabila mampu meledak sehingga lapan gol dan hanya bolos sekali sepanjang tiga perlawanan awal itu.
“Saya harap pemain-pemain saya akan dapat meneruskan momentum ini pada aksi suku akhir nanti,” kata beliau.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka, Safian Abd. Wahid lega kerana pasukannya berjaya mengiringi Pulau Pinang selaku naib juara Kumpulan A untuk ke saingan suku akhir yang akan dilangsungkan secara timbal balik bermula Sabtu ini
“Kalau tak dapat menang pun, kita memang rancang untuk dapatkan sekurang-kurangnya satu mata (ketika menentang Pulau Pinang) dan Alhamdulillah, hasrat itu tercapai,” ujarnya.
Lawan Melaka pada aksi suku akhir nanti ialah ATM selaku juara Kumpulan B.-UTUSAN