PARIS: Perancis terus membuktikan status mereka selaku kuasa besar bola sepak dunia apabila melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Azerbaijan dalam aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia di Parc des Princes, semalam.
Tiga jaringan hasil sentuhan Kylian Mbappe, Adrien Rabiot dan Florian Thauvin memastikan skuad kendalian Didier Deschamps mengekalkan rekod sempurna dengan sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan.
Les Bleus kini selesa di tangga teratas kumpulan, lima mata mengatasi pencabar terdekat, Ukraine, yang menewaskan Iceland 5-3.
Kemenangan di Reykjavik Selasa ini mampu mengesahkan tiket mereka ke Piala Dunia 2026 sekiranya Ukraine gagal mengutip tiga mata menentang Azerbaijan.
“Saya tidak mahu terlalu teruja. Kami menang dan menjaringkan tiga gol, tetapi sejujurnya kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak,” kata Deschamps.
Deschamps bagaimanapun mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa menjelang pertemuan seterusnya.
“Kami sudah selesaikan tugas hari ini, tetapi perlawanan di Iceland nanti pasti berbeza kerana suasana dan tekanan juga berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Thauvin yang kembali bersama pasukan kebangsaan menganggap jaringannya itu merupakan detik yang bermakna buatnya.
“Ia detik luar biasa. Saya sudah lama menantikan peluang ini, dan saya berjanji akan berikan segalanya walau cuma beberapa minit di padang,” katanya.- AGENSI