NEW YORK: Kejohanan Hero World Challenge yang dianjurkan oleh Tiger Woods bakal kembali mewarnai kalendar golf dunia dengan barisan pemain elit, namun penyertaan legenda itu sendiri masih menjadi tanda tanya.
Acara yang dijadual berlangsung di Padang Golf Albany, New Providence, Bahamas dari 4 hingga 7 Disember ini akan menampilkan enam daripada 10 pemain terbaik dunia, termasuk juara bertahan dua kali Scottie Scheffler, Xander Schauffele dan Justin Thomas.
Bagaimanapun, satu nama besar yang tiada dalam senarai awal penyertaan ialah Woods sendiri, yang juga pemenang lima kali kejohanan tersebut.
Terdapat tiga slot pengecualian penaja yang masih belum diumumkan, sekali gus membuka ruang untuk juara 15 kali kejohanan utama itu membuat penampilan mengejut sekiranya beliau memilih untuk bertanding.
Woods, 49, belum beraksi dalam kejohanan rasmi Jelajah PGA sejak The Open Championship pada Julai 2024.
Beliau masih bergelut dengan masalah kesihatan berikutan kemalangan jalan raya pada 2021 dan pernah menjalani pembedahan bagi membaiki tendon Achilles kiri yang pecah pada 11 Mac lalu.
Peminat kini menanti dengan penuh debar sama ada ikon golf dunia itu akan kembali menghidupkan semula magisnya di Bahamas atau sekadar kekal sebagai tuan rumah dari luar padang.- AGENSI